Restoran makanan laut ‘saji’ mercun

Restoran makanan laut ‘saji’ mercun

KUANTAN – Taktik seorang pemilik restoran menjual bunga api dan mercun di sebalik aktiviti perniagaan kedai makan di sini akhirnya dihidu oleh pihak berkuasa.

Kegiatan restoran yang tersohor menjual sajian makanan laut itu terbongkar apabila polis menerima aduan aktiviti penjualan mercun di belakang premis tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, hasil pemeriksaan polis merampas 22 jenis bunga api dan mercun berjumlah RM30,000 dalam serbuan semalam.

“Kejadian berlaku di sebuah premis restoran yang menjual makanan laut yang dimiliki oleh suspek dan telah beroperasi sejak 3 tahun lepas.

“Serbuan yang dilakukan telah menjumpai pelbagai mercun dan bunga api yang diletakkan di bahagian belakang restoran suspek.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati suspek berusia 35 tahun tidak memiliki lesen dan permit yang sah untuk menjual mercun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Wan Zahari, hasil soal siasat awal suspek mengaku memiliki mercun tersebut untuk dijual sejak Tahun Baru Cina pada tahun lepas.

Kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – MalaysiaGazette