Rexy tagih dominasi beregu negara

Rexy tagih dominasi beregu negara

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara diharap mampu mengulangi pencapaian membanggakan seperti tahun lalu pada saingan Masters Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Unifi Arena dari 19 hingga 24 Mei ini.

Tahun lalu, arena badminton negara menjadi tumpuan apabila dua beregu lelaki Malaysia mencipta bertemu di pentas final sesama sendiri menerusi gandingan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan nombor enam dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menyaksikan Wei Chong-Kai Wun muncul pemenang.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky, kejayaan mencipta final sesama sendiri itu membuktikan kekuatan beregu negara dan beliau mahu momentum sama diteruskan tahun ini.

“Tahun lalu kita bukan saja dapat juara, malah berjaya cipta final sesama pemain Malaysia. Jadi saya harap perkara itu dapat diulangi semula tahun ini,” katanya.

Selain beregu lelaki, Rexy turut menaruh harapan tinggi kepada beregu campuran negara yang diketuai bekas juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk memberikan cabaran sengit.

Malah, beliau turut mahu melihat sejauh mana kemampuan gandingan baharu negara, Jimmy Wong dan Cheng Su Yin dalam kejohanan berstatus Super 500 itu.

“Saya juga berharap beregu campuran, Tang Jie-Ee Wei serta gandingan baharu Jimmy dan Su Yin mampu pergi lebih jauh di Masters Malaysia kali ini. Kita nak lihat sejauh mana mereka boleh capai,” katanya.

Dalam masa sama, Rexy menegaskan skuad negara tidak boleh terus bergantung kepada pemain utama semata-mata dan mahu barisan pemain muda mula tampil menyerlah di pentas besar.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pemain utama sahaja.

“Saya mahu lihat kemampuan dan keupayaan pemain lain di luar kelompok pemain utama kita. Sebelum ini, kebanyakan mereka kalau tidak terkandas pusingan kedua, sekurang-kurangnya setakat suku akhir saja.

“Jadi saya harap bermain di gelanggang sendiri akan menjadi pembakar semangat buat mereka untuk buktikan mereka bukan saja bagus ketika latihan, tetapi juga mampu beraksi cemerlang dalam kejohanan.

“Khususnya pemain seperti (Yap) Roy King dan Wan Arif (Wan Junaidi),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top