Rezeki Aidilfitri, Konstabel dapat cabutan bertuah Proton Persona

Rezeki Aidilfitri, Konstabel dapat cabutan bertuah Proton Persona

am@hmetro.com.my

Melaka: “Memang saya tak sangka boleh terpilih menang kereta. Mungkin ini rezeki berkat doa ibu bapa yang meminta saya mengisi borang cabutan bertuah,” kata konstabel polis, Muhamad Sharul Aiemi Abdullah, 21, dari Lorong Pandan di sini.

Anak sulung daripada tiga beradik itu diumum pemenang cabutan bertuah Melaka Grand Ramadan Bazar @Jalan Hang Tuah (MELGRAB) sekali gus membawa pulang hadiah utama Proton Persona 1.6L Standard CVT.

Menurutnya, dia berbelanja lebih RM800 bagi membeli pakaian raya untuk keluarganya di bazar itu pada 2 April lalu sebelum menerima tiket cabutan bertuah.

“Kebiasaan kalau dapat tiket penyertaan seperti itu saya akan lupakan dan abaikan kerana tahu sukar untuk menang.

“Namun pada malam itu mak ayah beria-ia minta saya isi dan hantar borang penyertaan itu, Alhamdulillah akhirnya dapat bawa pulang sebuah kereta,” katanya yang bertugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan.

Menurutnya, dia terkejut apabila dihubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang memaklumkan dia adalah pengunjung paling bertuah bazar itu pada tahun ini.

“Saya sedang bertugas ketika itu dan awalnya memang tidak percaya dan ingatkan panggilan scammer, tapi memang ingat ada masuk cabutan bertuah sebelum ini.

“Bila pulang ke rumah dan melihat aplikasi TikTok secara langsung baharulah saya percaya dan terus balik ke Melaka kerana penganjur maklumkan hari ini untuk penyampaian hadiah,” katanya lagi.

Muhamad Sharul Aiemi berkata, dia memang berhasrat untuk membeli kereta baharu bagi kemudahan keluarganya memandangkan Perodua Myvi milik bapanya sudah lama.

“Raya ini dapatlah kami sekeluarga pulang berhari raya di Muar, Johor dengan menaiki kereta baharu yang lebih selesa,” katanya.

Replika kunci kereta disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada program perasmian bazar itu yang turut dihadiri Datuk Bandar Melaka Datuk Shadan Othman.

© New Straits Times Press (M) Bhd