am@hmetro.com.my
Jerantut: Kira-kira 10,000 ikan patin yang dijual secara lelong dengan harga murah iaitu RM17 sekilogram berbanding harga pasaran RM22 hingga RM25 sekilogram habis dijual dalam tempoh satu hari.
Tindakan Muhammad Alif Aiman Baharizal, 23, yang juga penternak ikan sangkar di Kampong Lada dekat sini, adalah untuk mengelakkan kerugian berterusan akibat banjir kerana dijangka Monsun Timur Laut akan melanda lagi mulai 8 Disember ini.
Orang ramai dilihat tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan ikan patin sangkar kerana ia adalah ikan kegemaran bagi kebanyakan penduduk Pahang, khususnya di Jerantut.
“Pagi semalam, saya terkejut apabila saya dan ayah pergi ke sangkar ikan pada 6.40 pagi, dan mendapati sudah ramai yang menunggu di tebing sungai.
“Kelam-kabut juga kami dibuatnya apabila melihat ramai yang menunggu kerana masing menyatakan berapa kilo mereka hendak,” kata Muhammad Alif Aiman.
Menurutnya, pembeli terpaksa menunggu lama kerana ikan perlu ditangkap dalam sangkar dahulu sebelum ditimbang.
Katanya, ramai daripada mereka tahu mengenai jualan murah itu melalui media sosial apabila membaca portal Harian Metro, semalam.
Menurutnya, pembeli bukan sahaja datang dari sekitar Jerantut tetapi Jengka, Temerloh, Maran dan Lipis.
Muhammad Alif Aiman berkata, menjelang tengah hari, makin ramai pembeli datang terutamanya dari jauh dan kebanyakan pembeli terdiri daripada peniaga kedai makan dan orang perseorangan.
Katanya, pembelian paling banyak adalah 40 kilogram (kg), manakala yang lain kira-kira lima hingga 20 kg seorang.
Menurutnya, dia tidak menyangka 10,000 ikan patin dari enam sangkar itu akan habis dalam masa sehari kerana asalnya menjangka jualan itu mengambil masa dua hingga tiga hari.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan saya berasa lega kerana semua ikan habis pada kira-kira 6 petang.
“Duit jualan itu akan digunakan untuk membaiki sangkar yang rosak, membeli benih ikan dan makanan ikan untuk tahun hadapan,” kata usahawan muda itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




