Rezeki suara belalang kerek

Rezeki suara belalang kerek

am@hmetro.com.my

Setiu: Bermula dari minat belajar menangkap belalang kerek atau dikenali belalang rusa menggunakan tangan, hobi itu akhirnya membuka pintu rezeki serta menambah pendapatan sampingan keluarga.

Penangkap belalang, Azman Nawi, 56, dari Kampung Rhu Muda, Marang, berkata, dia mula berjinak-jinak menangkap belalang kerek di kawasan semak dan kebun sekitar kampung sejak dua bulan lalu.

“Biasanya saya cari belalang selepas waktu Isyak dan pernah mendapat kira-kira 15 ekor dalam satu malam.

“Sambil masuk bertanding (bunyi belalang), saya juga dapat menambah pendapatan sampingan dengan menjual belalang pada harga RM10 seekor.

“Walaupun susah menangkapnya menggunakan tangan, namun kenangan paling manis adalah apabila saya pernah muncul sebagai johan dalam pertandingan belalang yang disertai,” katanya.

Minat sama turut dikongsi, Mohd Hakim Mohd Samsuria, 11, yang mempunyai seekor belalang kesayangannya bernama ‘Jimmy’.

“Saya tertarik untuk membela ‘Jimmy’ kerana ia mempunyai keunikan dari segi kemerduan bunyi serangga dan sering dibawa menyertai pertandingan bunyi belalang.

“Kedua ibu bapa tahu berhubung minat saya dan sering beri galakan serta sokongan untuk masuk pertandingan.

“Yuran penyertaan dikenakan agak mampu dibayar iaitu antara RM3 hingga RM12 sahaja,” katanya.

Menurutnya, setiap kali menyertai pertandingan, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang sebaliknya berpuas hati dapat menyertainya kerana boleh menambah ilmu berhubung penjagaan belalang.

“Selalunya apabila ada masa lapang, saya akan cari belalang kerek sekitar kebun kelapa sawit di kawasan kampung,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top