Ribuan umat Islam derma kepada Zayed Afzal

Ribuan umat Islam derma kepada Zayed Afzal

TRENTON: Ribuan penderma dari seluruh dunia menyumbang hampir CAN$2 juta (RM7.76 juta) semalam, bagi membantu kanak-kanak lelaki, Zayed Afzaal yang yatim piatu selepas ibu bapanya terbunuh dalam insiden yang disifatkan Perdana Menteri, Justin Trudeau sebagai tindakan pengganas.

Seorang pemandu trak setengah tan pada Ahad lalu, dengan sengaja memandu di tepi jalan di London, Ontario dan membunuh Salman Afzaal, 46; isterinya, Madiha, 44, anak perempuan mereka, Yumnah, 15, dan ibu Salman, Talat, 74.

Hanya Zayed berusia sembilan tahun, terselamat daripada insiden itu dan masih berada di hospital dalam keadaan stabil, lapor agensi berita Anadolu.

Warga Kanada yang masih terkejut dengan tragedi apabila polis menyifatkan ia sebagai “tindakan dirancang yang didorong kebencian.”

Keluarga itu keluar bersiar-siar pada petang Ahad, berdiri di sebuah simpang untuk menyeberang jalan sebelum trak berkenaan merempuh mereka. Suspek berusia 20 tahun sedang ditahan.

Dua kempen mengumpul derma diadakan bagi mengumpul sumbangan untuk menyokong Zayed. Tiga hari lalu, Sana Yasir menganjurkan kempen “go-fund-me” (https://gofund.me/a8335610) yang disokong anak saudara Madiha Afzaal, Sana Ghandi.

Sehingga jam 2 petang semalam, lebih 14,000 penderma menyumbang setakat ini dan hanya beberapa ribu dolar lagi untuk mencapai sasaran CAN$800,000 (RM2.7 juta).

“Ia sesuatu yang mengejutkan saya mengenai jumlah derma yang diperoleh daripada di seluruh dunia tanpa mengira bangsa dan agama, semuanya menyumbang,” kata Sana, kawan rapat keluarga itu kepada CTV News.

Kempen kedua yang dipanggil “London Community United Against Hate” (https://www.launchgood.com/campaign/london_community_united_against_hate#!/) berjaya mengumpul lebih CAN$1.1 juta (RM3.38 juta) semalam, daripada 19,757 penderma. Kempen itu disokong National Council of Canadian Muslims, Islamic Relief Canada, London Muslim Mosque dan ahli keluarga. Kutipan sumbangan akan berterusan hingga akhir bulan ini.

Kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran bagaimana isu kebencian agama mengakibatkan ’empat nyawa berharga yang diambil hanya kerana kepercayaan mereka’.

Majlis pengebumian keluarga Zayed dijangka diadakan hari ini. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top