Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, mata wang utama

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, mata wang utama
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, mata wang utama

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0225/0425 berbanding dolar AS daripada 4.0295/0350 semasa ditutup pada Jumaat lepas. Foto hiasan

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada Isnin, disokong oleh mata wang Amerika Syarikat (AS) itu yang rendah dalam ketidaktentuan geopolitik yang berlanjutan di Asia Barat.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0225/0425 berbanding dolar AS daripada 4.0295/0350 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS rendah berikutan sentimen berhati-hati yang berterusan susulan pendirian Presiden AS Donald Trump yang menyasarkan infrastruktur awam Iran untuk memastikan pembukaan semula Selat Hormuz.

Beliau berkata harga minyak mentah Brent yang tinggi sebanyak US$110.47 setong menunjukkan tekanan inflasi yang meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang manakala sentimen perniagaan dan pengguna kekal lemah.

“Oleh itu, kami menjangka USD/MYR akan berada dalam julat antara RM4.03 dan RM4.05 dalam masa terdekat berikutan Indeks Dolar AS (DXY) naik 0.23 peratus kepada 100.259 mata,” katanya kepada Bernama.

Pada sesi pembukaan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5172/5299 daripada 2.5247/5285 semasa ditutup pada Jumaat lepas, meningkat berbanding euro kepada 4.6299/6529 daripada 4.6513/6576 dan naik berbanding pound kepada 5.3041/3304 daripada 5.3326/3399.

Mata wang tempatan turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1235/1398 daripada 3.1341/1389 pada Jumaat lepas dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.67/6.72 daripada 6.68/6.71.

Ia turut mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 236.8/238.2 daripada 237.2/237.7 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.2918/3631 daripada 12.3585/3841 sebelum ini. – Bernama 

Scroll to Top