Risteena beri amaran keras, jangan guna gambar kami

KUALA LUMPUR – Pelakon Risteena memberi amaran keras kepada sebuah portal berita agar tidak menggunakan gambar atau memetik sebarang perkongsian dalam Instagramnya dan suami, Isa Khan untuk sebarang laporan berita.

Amaran itu dimuat naik Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim menerusi hantaran terbaharu dalam Instagram miliknya.

“Saya dan Isa Khan tidak memberi kebenaran mana-mana gambar dan berita tentang kami disiarkan dalam portal tersebut.

“Tolong maklumkan saya sekiranya masih ada gambar kami digunakan tanpa izin. Terima kasih,” tulisnya.

Semalam, media melaporkan pasangan selebriti itu akan dipanggil pihak polis untuk membantu memberikan keterangan berhubung dakwaan rentas negeri ke Sabah untuk berbulan madu.

Sehari sebelum itu, percutian bulan madu pasangan pelakon Risteena dan Isa Khan di Semporna, Sabah mencetuskan pelbagai tanda tanya dan kemarahan netizen dalam laman sosial.

Rata-rata netizen mempertikaikan tindakan pasangan romantis itu yang mendapat kebenaran rentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan.

Tidak terhenti di situ, netizen turut mempersoalkan kegagalan Risteena dan suami mematuhi prosedur operasi standard dengan tidak memakai pelitup muka. – MalaysiaGazette