RM17 juta untuk kit makanan mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Melaka: Peruntukan RM17 juta disediakan bagi kit makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh negara sepanjang musim tengkujuh yang diramal berakhir pada Mac tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata peruntukan itu adalah sebagai permulaan dan akan ditambah jika keperluannya meningkat dari semasa ke semasa.
Kit makanan ini akan disalurkan kepada mangsa-mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Dalam situasi norma baharu COVID-19 serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di PPS, kita turut membantu menyediakan kelengkapan peralatan perlindungan peribadi kepada petugas bencana, katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaaan Tamil (SJKT) Durian Tunggal, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata tiada keperluan untuk membekukan cuti kesemua anggota penyelamat serta pasukan pengurusan bencana khususnya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menghadapi bencana banjir.

Tak perlu membekukan cuti kakitangan APM dan NADMA kerana jumlah petugas bencana ini adalah mencukupi di seluruh negara di samping mereka dibantu oleh para sukarelawan APM yang diuruskan oleh pegawai tetap agensi terbabit, katanya.
Sehingga kini anggota dan pegawai APM dan NADMA di seluruh negara, termasuk sukarelawan di bawah agensi itu mencecah lebih dua juta orang.
Pada lawatan itu, Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah mengumumkan akan menyumbangkan bantuan kecemasan sebanyak RM20,000 kepada SJKT Durian Tunggal bagi membaik pulih kerosakan di sekolah itu setelah terjejas teruk akibat banjir kilat yang berlaku di daerah terbabit.
Sementara itu, Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata jumlah mangsa banjir di Daerah Jasin dan Alor Gajah menurun kepada 173 orang daripada 41 keluarga.
Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata daripada jumlah itu, 47 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal dan tiga mangsa ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Gadek yang kedua-duanya terletak di Alor Gajah.
Bagi Daerah Jasin pula, PPS SK Tehel menempatkan 123 mangsa, setakat pukul 5 petang semalam.

PPS Balai Raya Kampung Gadek dibuka pada 8 pagi tadi, manakala PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum di Jasin ditutup pada 10 pagi tadi dan kesemua 75 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,  katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sumber : BERNAMA

Nasional Desk