KUALA LUMPUR – Dakwaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terlebih berbelanja RM2.1 bilion bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) tidak boleh dijadikan bukti berlaku kehilangan wang, ketirisan atau penyelewengan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, dakwaan itu berpunca daripada perbandingan perbelanjaan sebenar dengan peruntukan asal tanpa mengambil kira penyelarasan peruntukan yang telah diluluskan.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, bagi tempoh 2023 hingga 2025, peruntukan asal JALB berjumlah RM3.982 bilion sebelum dipinda kepada RM6.143 bilion, manakala perbelanjaan sebenar ialah RM6.108 bilion.
“Dari mana datangnya angka RM2.1 bilion? Ia terhasil apabila perbelanjaan sebenar RM6.108 bilion ditolak dengan peruntukan asal RM3.982 bilion, tanpa mengambil kira peruntukan dipinda.
“Perbezaan RM2.1 bilion berbanding peruntukan asal itu bukan dengan sendirinya bukti wang hilang, ketirisan atau penyelewengan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Isnin.
Ahmad Zahid menjelaskan, apabila perbelanjaan sebenar dibandingkan dengan peruntukan selepas pindaan, jumlah yang dibelanjakan masih berada di bawah peruntukan tersedia dengan baki kira-kira RM34.3 juta.
Menurutnya, penyelarasan peruntukan bukan sesuatu yang luar biasa kerana mekanisme sama turut dilaksanakan di kementerian lain mengikut peraturan kewangan kerajaan.
Beliau berkata, pelbagai dakwaan termasuk ketirisan, rasuah dan penggunaan istilah ‘sakau’ telah menimbulkan persepsi buruk terhadap KKDW serta integriti pegawai yang menguruskan program berkenaan.
“Ada yang mendakwa berlaku ketirisan. Ada yang mengaitkannya dengan rasuah. Tidak kurang juga yang berulang kali menggunakan perkataan ‘sakau’, seolah-olah penyelewengan telah terbukti berlaku,” ujarnya.
Ahmad Zahid menegaskan, tuduhan sedemikian amat berat kerana membabitkan amanah menguruskan wang rakyat, nama baik kementerian serta integriti penjawat awam.
Jelasnya, pertambahan peruntukan JALB bagi tempoh 2023 hingga 2025 dilaksanakan melalui pindahan peruntukan dalaman tanpa melebihi siling keseluruhan bajet pembangunan tahunan KKDW yang diluluskan.
Menurutnya, setiap penyelarasan perlu melalui mekanisme ‘Notice of Change’ (NOC) serta kelulusan pihak berkaitanmtermasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Dalam bahasa mudah, jumlah bagi JALB bertambah melalui penyusunan semula peruntukan dalam jumlah keseluruhan yang tersedia kepada kementerian,” jelasnya.
Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa RM300 juta yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebagai peruntukan tambahan sebenarnya merupakan kebenaran berbelanja melalui Surat Kuasa Berbelanja (SKB).
Katanya, kebenaran itu bertujuan menjelaskan tunggakan dan komitmen projek tahun sebelumnya, bukannya membolehkan kementerian berbelanja tanpa melalui proses kelulusan yang ditetapkan.



