11 penduduk Gaza terkorban akibat serangan udara Israel

11 penduduk Gaza terkorban akibat serangan udara Israel

BANDAR GAZA: Tiga rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak perempuan, terbunuh pada Isnin dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah kem pelarian di selatan Semenanjung Gaza, menurut sumber perubatan dan petugas kecemasan.

Jurucakap Pertahanan Awam, Mahmoud Bassal berkata, seramai 11 orang terbunuh manakala 50 lagi cedera akibat tembakan dan serangan udara Israel di Gaza dalam tempoh 24 jam lalu.

“Kami membawa tiga jenazah, termasuk seorang kanak-kanak, selepas serangan udara Israel menyasarkan sebuah kem pelarian di kawasan Al-Mawasi, barat Khan Yunis,” kata Bassal kepada AFP.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Gaza, mengesahkan ketiga-tiga kematian itu.

“Jenazah mereka hancur akibat terkena serpihan peluru berpandu Israel secara langsung,” menurut pihak hospital, sambil menambah beberapa mangsa cedera, termasuk seorang kanak-kanak dan seorang wanita, turut dibawa untuk mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya lapan warga Palestin terkorban dalam siri serangan tentera Israel di Gaza pada Ahad.

Ia termasuk satu serangan udara yang membedil kampus universiti di Bandar Gaza.

Tiga pengawal keselamatan terbunuh selepas serangan udara Israel membedil kampus Universiti Islam  iaitu serangan kedua yang menyasar institusi pendidikan berkenaan dalam tempoh beberapa jam.

Wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud, yang melaporkan secara terus dari lokasi kejadian sejurus serangan berlaku dengan menyifatkan kemusnahan yang ditinggalkan amat dahsyat.

“Kesan darah dan cebisan daging mangsa yang terkorban bergelimpangan di atas tanah. Bau konkrit terbakar bercampur dengan bau darah yang amat menyengat,” kata beliau.

Mahmoud menambah bahawa pasukan Al Jazeera baru sahaja selesai merakam laporan di situ dan sempat menyapa ketiga-tiga pengawal keselamatan berkenaan sebelum mereka terbunuh dalam serangan itu.

“Kami dapat mendengar bunyi dengungan serpihan peluru berterbangan di sekeliling kami,” kata koresponden berkenaan.

Dalam serangan dron terdahulu di kampus sama, seramai tujuh pelajar wanita cedera akibat terkena serpihan letupan.

“Salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke hospital lapangan berdekatan,” kata Mahmoud. – AGENSI

 

Scroll to Top