RM2.4 Bilion MDMA Dirampas, Makmal Dadah Di Puncak Alam Tumpas

Lebih 13 tan dadah sintetik MDMA bernilai RM2.4 bilion dirampas polis dalam serbuan ke atas sebuah premis di kawasan perindustrian Bandar Puncak Alam yang dijadikan makmal memproses dadah.

Dalam serbuan itu, polis menemukan 7,097.40 kilogram cecair MDMA dan 6,069.31 kilogram serbuk MDMA, menjadikannya antara rampasan terbesar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Februari lalu dengan premis yang disewa antara RM9,000 hingga RM10,000 sebulan itu digunakan untuk memproses dan menyimpan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan serta antarabangsa.

“Kalau kita lihat cecair MDMA sahaja, ia hampir tujuh tan, manakala serbuk MDMA pula hampir enam tan.

“Ini adalah rampasan yang sangat besar dan nilainya keseluruhan mencecah RM2.4 bilion, jumlah ini bukan sahaja terbesar untuk tahun ini, malah antara yang terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Siasatan mendapati bahan prekursor serta kelengkapan untuk memproses dadah diperoleh dari luar negara sebelum dibawa masuk melalui kargo di Pelabuhan Klang, malah polis turut menemui kontena di dalam premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan modus operandi sindiket.

“Sebahagian peralatan itu diisytiharkan sebagai peralatan pemprosesan bagi mengaburi pihak berkuasa, kita percaya bahan dan peralatan ini berasal dari China,” kata Hussein.

Hussein berkata, kegiatan itu terbongkar menerusi Op Eumenes selepas risikan selama kira-kira tiga hingga empat bulan membawa kepada enam siri serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 15 Ogos lalu serta penahanan lima suspek berusia antara 29 hingga 43 tahun.

“Suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan, seorang lelaki warganegara asing dan seorang perempuan warganegara asing.

“Kesemua mereka telah ditahan dan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 21 dan 27 Ogos lalu,” katanya.

Beliau menambah, antara yang ditahan ialah seorang warga Taiwan yang dipercayai berperanan sebagai pakar kimia dan membantu sindiket dalam proses menghasilkan dadah, dengan siasatan mendapati individu berkenaan sudah empat kali memasuki Malaysia dalam tempoh setahun atas tujuan lawatan sosial.

“Kita masih menyiasat kemungkinan wujud rangkaian sindiket ini di Taiwan dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara berkenaan,” katanya.

Polis pada masa sama percaya ketua sindiket itu merupakan individu yang ditembak mati dalam satu serbuan di Seremban beberapa hari lalu, manakala beberapa ahli lain masih belum ditangkap termasuk seorang yang dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara.

Selain MDMA, polis turut merampas ganja, pil Erimin 5, ketamin, pil yaba dan methamphetamine serta menyita aset kira-kira RM276,000, sementara siasatan diteruskan bagi mengesan keseluruhan rangkaian sindiket termasuk kemungkinan wujud bantuan orang dalam daripada mana-mana agensi lain.


Scroll to Top