RM3.1 juta bantuan untuk mangsa banjir

Bera: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memberi bantuan pasca banjir sebanyak RM3.1 juta kepada seramai 10,367 mangsa banjir di Pahang.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata bantuan wang tunai RM300 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) diberikan secara berperingkat sejak bulan lalu.

Asmadi berkata, senarai mangsa banjir yang layak menerima bantuan di setiap kampung disediakan oleh ketua kampung dan penghulu, mereka yang mendaftar serta berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) layak menerima bantuan.

Katanya, mangsa banjir turut menerima bantuan barangan yang diberikan oleh Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Pasaraya Darussalam.

“Antara barangan diberikan kepada mangsa banjir seperti tilam, selimut, telekung, dapur gas, cadar, periuk nasi, beras, sejadah, tikar, baucar KFC dan barangan elektrik.
“Bantuan kewangan dan barangan keperluan yang diberikan kepada mangsa banjir diharap dapat meringankan beban mereka yang kehilangan harta benda ditenggelami banjir,” katanya selepas menyampaikan bantuan berkenaan kepada mangsa banjir di empat kampung di daerah ini, semalam.

Asmadi berkata, difahamkan kejadian banjir di daerah ini terutama membabitkan Kampung Guai, Kampung Seberang Guai, Kampung Batu Papan dan Kuala Triang begitu serius hingga menenggelamkan banyak rumah.

“Banyak kerugian harta benda dialami mangsa banjir di daerah ini apabila mereka tidak sempat menyelamatkan barangan dalam rumah,” katanya.
Warga emas Abdul Kadir Unjan, 80, yang menetap di Kampung Kuala Triang berkata, banjir kali ini agak luar biasa apabila air naik dengan cepat hingga kebanyakan penduduk tidak sempat memindahkan barang.

“Paras air kira-kira 1.5 meter hingga mengenggelamkan banyak rumah yang terletak di kawasan rendah dan hampir dengan Sungai Triang.
“Penduduk berada di PPS lebih 10 hari dan paras banjir kali ini lebih rendah berbanding banjir 2014,” katanya.

Malay News
National Desk

Scroll to Top