mahanum_aziz@bh.com.my
PUTRAJAYA: Kedudukan fiskal kerajaan kekal terkawal dengan struktur hutang yang disokong oleh asas pelabur tempatan yang besar, profil kematangan hutang dengan lebih 50 peratus hutang akan matang dalam tempoh lebih lima tahun, dan hampir 97 peratus hutang yang berdenominasi ringgit.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan tetap komited terhadap konsolidasi fiskal dan kemampanan hutang berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana, sebaik saja ekonomi kembali pulih.
Beliau berkata, sekiranya pertumbuhan jangka pendek lebih baik daripada jangkaan, pihaknya menjangka kadar konsolidasi yang lebih cepat bermula 2023.
Selain itu, katanya, pelancaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan mendorong prospek pertumbuhan ekonomi.
“Setelah melaksanakan konsolidasi fiskal selama sedekad, Malaysia berjaya mengurangkan defisit fiskal 6.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2009 kepada 3.4 peratus pada 2019.
“Bagaimanapun, berikutan krisis COVID-19, defisit fiskal meningkat kepada 6.2 peratus pada 2020 akibat prestasi KDNK yang lebih lemah daripada jangkaan, serta perbelanjaan ‘one-off’ bagi menampung pakej rangsangan ekonomi, bagi mengurangkan kesan pandemik berkenaan.
“Bagi Belanjawan 2021, pada awalnya kerajaan menyasarkan defisit fiskal pada 5.4 peratus daripada KDNK. Namun, dengan pelaksanaan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA), defisit kerajaan disemak semula kepada 6.0 peratus tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai kedudukan ekonomi dan kewangan negara di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, berikutan pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan dan bantuan, bagi terus membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kerajaan meningkatkan had statutori hutang daripada 55 peratus kepada 60 peratus daripada KDNK.
Beliau berkata, peningkatan had statutori hutang itu secara sementara dan akan kembali kepada 55 peratus KDNK pada 2023.
Katanya, sehingga akhir Disember 2020, hutang statutori mencatat 58 peratus daripada KDNK dan dijangka akan meningkat kepada sekitar 58.5 peratus daripada KDNK pada akhir 2021, masih di bawah had statutori 60 peratus yang ditetapkan.
“Pinjaman luar pesisir pula mencatat RM28.3 bilion, masih di bawah had RM35 bilion yang ditetapkan dalam Akta Pinjaman Luar Negeri 1963.
“Selepas mengambil kira terbitan Sukuk Kelestarian sebanyak AS$1.3 bilion, pinjaman luar pesisir mencecah RM33.6 bilion pada April 2021 dan dijangka berkurang kepada RM30.3 bilion, selepas membuat bayaran balik Sukuk Global 2011 berjumlah AS$800 juta yang akan matang pada Julai 2021,” katanya.
Mengulas kritikan yang mempersoal mengapa kerajaan tidak meningkatkan lagi hutang kerajaan untuk membantu rakyat dan perniagaan, Tengku Zafrul menjelaskan, antara 2008 hingga 2017, hutang Kerajaan Persekutuan meningkat lebih 120 peratus tetapi yang lebih ketara ialah jumlah jaminan kerajaan yang meningkat lebih 240 peratus dalam tempoh yang sama.
Beliau berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendedahkan kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan mencecah RM1 trilion menjelang hujung tahun 2017, namun, kerajaan pada masa itu masih mengambil langkah untuk mengurangkan hasil kerajaan dengan menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Jelasnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mewarisi keberhutangan yang tinggi dan kapasiti untuk membayar komitmen kewangan yang lebih rendah.
Selain hutang Kerajaan Persekutuan, tambahnya, kerajaan juga perlu menanggung komitmen jaminan seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB), SRC International, GovCo dan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) kerana projek berkenaan tidak menjana pendapatan, bagi membayar jumlah pokok dan faedah pinjaman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




