am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelaburan besar berjumlah RM611 bilion yang dirangka menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030, sekiranya pertumbuhan ekonomi berjaya dikekalkan pada kadar lima peratus setahun.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Dr Afzanizam Abdul Rashid berkata, sasaran itu tidak mustahil dicapai memandangkan perbelanjaan pembangunan yang diumumkan kerajaan kini mencecah RM430 bilion bagi tempoh lima tahun, berbanding RM400 bilion dalam RMK12 sebelum ini.
“Ini menunjukkan keseriusan kerajaan dalam merancakkan pembangunan ekonomi. Secara purata, ia bersamaan RM86 bilion setahun dan sebahagian besarnya akan disalurkan kepada sektor ekonomi serta sosial.
“Jika pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan sekitar lima peratus setahun, dan kadar pertumbuhan penduduk sekitar 1.1 hingga 1.2 peratus, Malaysia dijangka melepasi ambang pendapatan tinggi menjelang hujung dekad ini.
“Ketika ini pendapatan negara kasar (GNI) per kapita sekitar AS$12,000 dan untuk melepasi tahap negara maju, kita perlulah capai AS$14,000.
“Jadi sasaran itu realistik sekiranya pertumbuhan ekonomi dan pengukuhan ringgit dapat dikekalkan mungkin hingga RM3.90 ke RM4 berbanding dolar AS menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Podcast Kupasan RMK13 yang dihoskan Pengarang Berita Bisnes BH, Kamarulzaidi Kamis dan Pengarang Berita Bisnes Business Times NST, Muhammed Ahmad Hamdan, di Balai Berita Bangsar, di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi ahli panel, bekas Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Sulaiman Mahbob menyifatkan sasaran pertumbuhan antara empat hingga 4.5 peratus setahun adalah munasabah sekiranya kestabilan politik negara dapat dikekalkan.
“Faktor dalaman seperti kestabilan politik adalah dalam kawalan kita, dan saya yakin kita mampu capai pertumbuhan berpatutan.
“Cuma cabaran utama datang daripada luar seperti konflik di Palestin, tarif perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS), dan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.
Beliau bagaimanapun optimis sekiranya langkah seperti membuka pasaran baharu dilaksanakan dengan berkesan, Malaysia mampu melangkaui sasaran 4.5 peratus.
“Saya gembira apabila Perdana Menteri sebut mengenai pasaran baharu walaupun secara ringkas dalam ucapannya.
“Ia penting kerana kita tidak boleh hanya bergantung pada pasaran tradisional.
“Ada potensi besar di negara Caspian contohnya, yang mempunyai lebih 370 juta penduduk.
“Setakat ini, hanya Petronas yang berada di sana, sedangkan syarikat lain belum teroka,” katanya.
Katanya, agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan EXIM Bank perlu mengambil peranan aktif dalam meneroka pasaran baharu, khususnya untuk produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komoditi seperti minyak sawit.
“Domestik kita kukuh. Pelaburan sedia ada sudah banyak dijanjikan kepada MIDA dalam tiga tahun kebelakangan ini.
“Kita hanya perlu tingkatkan daya tahan dan produktiviti firma kita,” katanya.
Beliau yang juga Profesor Adjung di Institut Dasar Awam dan Pengurusan Antarabangsa Universiti Malaya (UM) turut mencadangkan konsep TIGER (Technology and Innovation Led Economic Growth and Resilience) sebagai pendekatan utama negara untuk kekal bersaing di peringkat global.
© New Straits Times Press (M) Bhd
