Andalusia: Bekas juara tiga kali, Primoz Roglic, melakukan serangan terakhir pendakian menuju garisan penamat untuk memenangi peringkat kelapan Vuelta a Espana sekali gus meraih masa berharga untuk mengejar pendahulu keseluruhan Ben O’Connor.
Roglic (Red Bull-Bora-Hansgrohe) terpaksa bekerja keras untuk mengatasi pelumba Australia yang memakai jersi merah bagaimanapun rentak pelumba Slovenia itu akhirnya membuahkan hasil dan dia meraih kemenangan kedua dalam perlumbaan ini.
Enric Mas dari Sepanyol (Movistar) dikalahkan oleh Roglic di garisan penamat dan terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala rakan senegaranya Mikel Landa (Soudal Quick-Step) di tempat ketiga.
O’Connor (Decathlon-AG2R La Mondiale) melintasi garisan penamat di tempat ke-17, 46 saat (s) selepas Roglic yang juga memperoleh bonus 10s.
Jurang dengan pendahulu kini adalah tiga minit 49s.
Seperti dijangka Roglic akan cuba mengejar masa O’Connor dalam perlumbaan sejauh 159 kilometer (km) dari Ubeda ke Cazorla, satu pendakian gunung sederhana tetapi dengan penamat yang sukar.
“Peluang itu ada, dan saya mengambilnya. Ia sukar, panas. Saya bernasib baik, saya mempunyai kaki untuk mengambilnya hari ini,” kata Roglic.
Mas naik dari tempat keempat ke tempat ketiga keseluruhan, manakala Joao Almeida tergelincir dalam klasifikasi umum selepas ketinggalan hampir lima minit di belakang pemenang.
Pusingan sembilan akan membawa pelumba sejauh 178.5km dari Motril ke Granada, dan dengan pendakian yang lebih sukar sepanjang laluan, O’Connor mungkin mendapati kelebihannya semakin berkurangan jika Roglic menyerang lagi sebelum hari rehat pada hari Isnin.
“Saya berlumba sepenuhnya setiap hari, hanya lihat bagaimana saya akan bertindak balas terhadap semua input ini pada badan saya selepas tempoh sukar dengan kecederaan. Saya masih merasakannya, jadi kita akan lihat,” kata Roglic.
© New Straits Times Press (M) Bhd




