PAS umum hentikan kerjasama politik dengan BERSATU

PAS umum hentikan kerjasama politik dengan BERSATU

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: PAS hari ini mengumumkan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan perkara itu selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat malam ini.

Abdul Hadi berkata, mesyuarat malam ini memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berkenaan pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS atas prinsip penyatuan ummah.

“Kedua, meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik PAS–BERSATU berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.

“Ketiga, menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS juga mahu meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah.

Katanya, ia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU) yang bakal diadakan.

Selain itu katanya, PAS juga menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai mereka.

Sebelum ini, BERSATU mendakwa PAS cuba mencampuri urusan dalaman parti itu berkait isu kerjasama politik di Perlis, Kelantan dan Kedah serta tindakan pemberhentian dan pengantungan keahlian pemimpin partinya sebelum ini.

Dalam surat BERSATU bertarikh 25 Mei, dikirimkan oleh Muhyiddin kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan PAS, menjelaskan tindakan mencampuri urusan dalaman parti anggota berkaitan hal disiplin dan tindakan yang diambil sebagai tidak wajar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top