am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Seorang pemandu ‘lalok’ yang mempunyai 15 rekod kesalahan berkaitan dadah ditahan selepas dipercayai merempuh beberapa kenderaan sebelum diberkas orang awam.
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, suspek berusia 29 tahun yang turut mempunyai dua rekod jenayah itu didapati positif methamphetamine serta morfin.
Katanya, penahanan lelaki itu dibuat susulan laporan polis pada jam 10.05 pagi hari ini berhubung kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Mitsubishi Triton di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai memandu secara melulu dan berbahaya dari Sungai Dua menuju ke Pulau Pinang sehingga merempuh beberapa kenderaan sepanjang laluan.
“Suspek akhirnya ditahan orang awam di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) berhampiran stesen minyak Caltex di Seberang Jaya sebelum diserahkan kepada polis yang tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Nik Aminuddin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek membawa beg silang mengandungi satu peket plastik lut sinar berisi bahan kristal disyaki methamphetamine seberat 0.75 gram serta satu lagi paket disyaki ketamin seberat 2.38 gram.
“Saringan air kencing kemudian mengesahkan suspek mengambil methamphetamine dan morfin,” katanya.
Polis menahan lelaki terbabit dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi permohonan reman.
Dalam masa sama, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah menjalankan siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.
Polis sedang mengesan semua mangsa dan saksi bebas bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Vignesh Kalaiselvan di talian 011-14572390 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Nik Aminuddin turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menahan suspek, selain menyifatkan tindakan pantas mereka membolehkan campur tangan segera polis dilakukan.
Katanya, pengguna jalan raya diingatkan supaya mematuhi undang-undang trafik dan mengamalkan pemanduan selamat, sambil memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap individu terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan pemanduan berbahaya yang mengancam keselamatan awam.
Terdahulu, sebuah Mitsubishi pacuan empat roda berwarna oren mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas dipercayai dipandu secara melulu di Jalan Seberang Jaya, dengan video kejadian tular di media sosial hari ini.
Video tular itu memaparkan kenderaan berkenaan bergerak tidak menentu selain mengundur berulang kali di tengah jalan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




