Ronaldinho kembali beraksi, buru gol ke-300 bersama kelab di Itali

SELEPAS 11 tahun meninggalkan pentas bola sepak profesional, legenda Brazil, Ronaldinho membuat kejutan apabila kembali menyarung jersi kelab divisyen tiga Itali, Ravenna.

Pemain berusia 46 tahun itu, yang pernah menjulang Piala Dunia 2002 dan dinobatkan pemenang Ballon d’Or 2005, mengakhiri karier profesionalnya pada 2015 selepas penampilan terakhir bersama kelab Brazil, Fluminense.

Kini, Ronaldinho kembali dengan misi istimewa untuk membantu Ravenna selain memburu gol ke-300 dalam kariernya.

“Saya sangat gembira berada di sini bersama rakan-rakan. Kami mempunyai pasukan yang boleh melakukan sesuatu yang baik.

“Adakah anda akan melihat saya bermain? Saya tidak tahu, hanya pengendali yang tahu. Kembali ke Itali adalah sesuatu yang indah, saya berada di sini untuk membantu rakan sepasukan menang.

“Seperti yang anda lihat, saya berada dalam keadaan cergas dan berasa baik. Jika saya dapat menjaringkan gol ke-300 saya, ia akan menjadi lebih indah,” katanya ketika majlis pengenalan di sebuah pantai di Ravenna.

Kepulangan bekas bintang Paris Saint-Germain, Barcelona dan AC Milan itu diumumkan Jun lalu ketika Piala Dunia berlangsung di Miami oleh pemilik Ravenna, Ignazio Cipriani.

Cipriani berkata, kehadiran Ronaldinho bukan sekadar strategi pemasaran, sebaliknya bertujuan memberi peluang kepada legenda Brazil itu melengkapkan impian peribadinya.

“Objektifnya bersifat romantik, iaitu untuk cuba menjaringkan gol terakhirnya.

“Penglibatannya bukan sekadar simbolik atau gimik pemasaran untuk menarik perhatian terhadap kami,” kata Cipriani.

Ronaldinho merekodkan 33 gol dalam 97 penampilan bersama Brazil dan turut akan menjadi pemegang saham Ravenna.

Bagaimanapun, dia tidak dijangka beraksi ketika menentang Reggiana dalam aksi pembukaan Serie C pada Isnin.

Ravenna menduduki tangga ketiga Kumpulan B divisyen tiga musim lalu dan kini mengintai peluang kembali ke Serie B, selepas kali terakhir beraksi dalam liga berkenaan pada 2008.

Scroll to Top