Ronaldo sakit perut dan muntah, selepas berjaya pacu Al-Nassr

Ronaldo sakit perut dan muntah, selepas berjaya pacu Al-Nassr

Riyadh: Cristiano Ronaldo sekali lagi membuktikan komitmennya apabila tetap diturunkan meskipun berdepan masalah kesihatan ketika membantu Al-Nassr mencatat kemenangan ke-15 berturut-turut dalam saingan Liga Pro Saudi.

Penyerang berusia 41 tahun itu dilaporkan mengalami ketidakselesaan fizikal namun masih diturunkan dalam aksi menentang Al-Ettifaq yang menyaksikan Al-Nassr menang tipis 1-0, sebelum dikeluarkan pada minit ke-89.

Jurulatih Al-Nassr, Jorge Jesus, mendedahkan beliau hampir mengambil keputusan untuk tidak menurunkan Ronaldo berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Menurutnya, Ronaldo mengalami sakit perut dan keletihan sebelum perlawanan, namun pemain berkenaan tetap mahu beraksi demi membantu pasukan.

“Selepas saya mengeluarkannya, dia terus ke bilik persalinan dan muntah,” katanya.

Walaupun berdepan situasi itu, Ronaldo terus menunjukkan sentuhan berbisa apabila sudah mengumpul 24 gol musim ini, sekali gus memastikan Al-Nassr kekal kukuh di puncak liga dengan kelebihan lapan mata.

Kemenangan tersebut turut menyaksikan Al-Nassr mencipta rekod kemenangan berturut-turut terpanjang dalam saingan liga musim ini, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai pencabar utama kejuaraan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top