mohamadridzuan@hmetro.com.my
PEMBABITAN dalam Gegar Vaganza dianggap perubahan baharu dalam kariernya. Itu tekad Ronnie Hussein, 43, apabila terpilih menyertai program hiburan popular ini.
Ronnie atau nama sebenarnya Shahron Hussein berkata, ini masa untuk dia kembali mengukir nama di persada seni tanah air selepas lama tidak tampil di khalayak utama.
“Saya rasa lebih kurang atau hampir lima hingga enam tahun tak beraksi di arus muzik utama, antaranya muncul di media utama negara.
“Mungkin sebab saya belum ada lagu baru untuk dikongsikan dan kerana itu juga saya tiada peluang atau tampil untuk publisiti di media arus perdana.
“Bila ada produk, baru ada slot atau peluang untuk muncul untuk diceritakan. Seperkara lagi, bila nak bergerak dalam arus perdana ini, artis itu perlukan pasukan yang boleh mengurus dan mengatur perjalanan karier penyanyi itu sendiri,” katanya.
Ronnie yang pernah mencipta nama bersama kumpulan Sunday dan Hyper Act mengakui keinginan mencari peluang kembali aktif serta menjadi tumpuan seperti dulu masih berkobar-kobar dalam dirinya.
“Maklumlah saya pernah melalui zaman kegemilangan, jadi mesti keinginan itu masih tebal. Saya rasa GV ini platform yang paling tepat dan sesuai untuk tunjuk kembali kewujudan dan kebolehan kami yang masih boleh menyanyi.
“Cuma saya percaya kalau ada usaha dan lagu yang bagus, pasti ada peluang dan ruang lagi untuk berada di tempat macam dulu dan pentas GV ini adalah platform paling tepat.
“Ia adalah pentas dan program yang besar. Jadi, dekat situ peluang saya dan rakan-rakan lain untuk berkarya dan mungkin akan dapat kembali ke zaman kegemilangan dulu,” katanya.
Ronnie tidak menafikan cabaran pasti ada dalam setiap pertandingan dan dia sudah bersedia melaluinya.
“Di situ ia dapat menguji kebolehan penyanyi seperti kami mengasah dan menunjukkan kembali skil lama dan bersaing dengan yang lain.
“Banyak genre lagu yang bukan kekuatan kami, akan kami nyanyikan. Jadi, kat situ kami boleh tunjuk pada penonton bahawa kami penyanyi yang versatil dan boleh menyanyikan pelbagai genre.
“Saya juga tak ambil serius komen dan kecaman netizen dan anggap itu semua kata-kata semangat untuk memperbaiki persembahan,” katanya.
Menurutnya, ada dua ujian perlu dilalui untuk menempatkan diri dalam program ini iaitu kehilangan ibu tercinta dan kini berjauhan dengan keluarga.
“Mereka tinggal di Johor dan kami terpaksa berjauhan untuk seketika. Alhamdulillah isteri dan anak-anak memahami dan menyokong penuh perjuangan saya di sini.
“Saya kena bayar pengorbanan mereka dengan buat sehabis baik dalam GV ini. Sebelum itu, sebulan sebelum saya ke pentas GV, saya kehilangan bonda tercinta. Agak sedikit terkilan sebab dia tak dapat lihat saya di pentas ini.
“Kalau dia ada, pasti dia bangga dapat lihat anaknya berada di tahap ini. Jadi, setiap minggu saya bawa semangat arwah ibu sebagai azimat untuk saya terus berjuang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd