London: Pengendali Chelsea, Liam Rosenior mengakui bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi hambar pasukannya, namun menegaskan beliau masih mendapat sokongan penuh daripada pemilik kelab.
Chelsea kini berdepan tekanan hebat selepas mencatat empat kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris, termasuk tewas 0-1 kepada Manchester United di laman sendiri.
Kekalahan itu menyaksikan The Blues kini berada di tangga keenam liga dengan 48 mata, sekali gus menjejaskan peluang untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Lebih membimbangkan, Chelsea gagal menjaringkan gol dalam keempat-empat kekalahan itu, menyamai rekod kemarau jaringan terburuk sejak 1912.
“100 peratus. Mereka (pemilik) terus menyokong saya dan perbualan harian kami juga sangat positif.
“Kami tahu kami perlu menang sekarang, tetapi dalam masa sama kami juga membina kejayaan jangka panjang,” katanya.
Rosenior yang dilantik sebagai ketua jurulatih pada Januari lalu sehingga 2032 menggantikan Enzo Maresca, kini menjadi pengurus tetap keempat sejak pengambilalihan oleh Todd Boehly pada 2022.
Namun beliau tidak berselindung dengan prestasi semasa pasukan.
“Kami perlu menang. Itu tuntutan kelab ini dan penyokong. Jika gagal dalam jangka pendek, sukar untuk bercakap mengenai masa depan.
“Secara jujur, kami tidak beraksi baik kebelakangan ini dan itu tanggungjawab saya sebagai jurulatih,” katanya.
Chelsea akan bertandang ke gelanggang Brighton & Hove Albion, awal pagi Rabu, dalam usaha menamatkan kemarau kemenangan.
Dalam perkembangan lain, pemain muda Estevao disahkan terlepas perlawanan itu, manakala penyerang Joao Pedro masih menunggu penilaian akhir tahap kecergasan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




