Roy Azman sahut cabaran bawa watak KP SPRM dalam Konspirasi

Roy Azman sahut cabaran bawa watak KP SPRM dalam Konspirasi

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Roy Azman, 56, mengakui bimbang untuk menerima watak Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditawarkan pengarah Ghaz Abu Bakar dalam filem Konspirasi.

Roy atau nama sebenar Zairosminan Abdul Rahman berkata, ia kerana karekter Tan Sri Kamil agak berat dan mencabar kerana tanggungjawab besar terhadap agensi penguatkuasaan itu.

“Sebenarnya ketika ditawarkan watak sebagai Tan Sri Kamil, saya memang agak takut nak terima pada awalnya kerana bagi saya ini bukan watak mahupun pangkat yang biasa-biasa.

“Menjadi KP SPRM dalam filem dan saya juga tahu mengenai Tan Sri Azam Baki yang mengetuai tanggungjawab di jabatan itu. Justeru, saya ada rasa takut dalam teruja kerana diberi kepercayaan juga.

“Ditambah, lebih teruja lagi apabila saya dapat menyarungkan pakaian asal KP SPRM milik beliau sendiri yang sudi dipinjamkan untuk penggambaran filem Konspirasi ini,” katanya.

Roy ditemui pada tayangan khas filem Konspirasi terbitan bersama Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films di TGV Alamanda Putrajaya, semalam yang turut dihadiri oleh Azam.

Katanya, dia berterima kasih kepada Ghaz kerana berjaya meyakinkan dirinya boleh menggalas tanggungjawab watak Tan Sri Kamil yang akhirnya dterima sebagai satu cabaran.

Ditanya peluangnya bersemuka dengan figura berkaliber SPRM berkenaan, Roy berkata, sepanjang penggambaran dia memang ada bertemu dengan Azam yang datang meninjau ke set penggambaran.

“Kami pernah berjumpa secara empat mata, di mana beliau ada datang ke set untuk meninjau perjalanan penggambaran. Sejujurnya saya juga takut untuk berdepan dengan beliau pada masa itu sebenarnya.

“Tetapi nak buat macam mana, mesti kena jumpa juga. Apapun, saya harap beliau berpuas hati dengan watak KP SPRM yang saya bawa itu serta semoga filem ini boleh membanggakan seluruh warga SPRM juga,” katanya.

Selain Roy, filem ini turut dibarisi pelakon seperti Datuk Adi Putra, Alicia Amin, Hisyam Hamid, Shiqin Kamal, Che Puan Sarimah Ibrahim dan Amir Nafis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top