am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Keluarga kepada murid Tahun Dua yang maut selepas dilanggar van di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong dekat sini, Selasa lalu berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) agar kejadian menimpa anaknya tidak berulang kepada orang lain.
Mohd Fareez Khalid, 39, berkata KPM dan JPN perlu meneliti aspek ini terutama membabitkan murid kerana golongan ini mudah terdedah kepada risiko.
“Bagi saya, kita perlu menambah baik SOP dan pada masa sama, saya tidak menyalahkan sesiapa atas kejadian menimpa anak saya.
“Saya sudah reda dengan kejadian ini,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di rumahnya di Kampung Parit Mustafa, Parit Sulong hari ini.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, 5 Mei lalu, Nur Aini Umairah, 8, maut selepas dilanggar van ketika sedang menunggu ibunya, Asmilah Tukiran, 37, menjemput pulang sebaik sesi persekolahan tamat.
Anak sulung daripada dua beradik itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Susulan kejadian itu, pemandu van, Nordin Ithnin, 61, ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Jumaat lalu namun bapa kepada enam anak terbabit mengaku tidak bersalah.
Terdahulu, Fadhlina dilapor berkata, KPM bersedia mempertimbang cadangan bagi menempatkan anggota keselamatan di sekolah sebagai langkah meningkatkan aspek keselamatan.
Beliau berkata, Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat sedang dimuktamadkan bagi menambah baik garis panduan sedia ada.
© New Straits Times Press (M) Bhd




