Ruang kebajikan untuk rakyat Sabah lebih besar jika bersama PH – Ramanan

Ruang kebajikan untuk rakyat Sabah lebih besar jika bersama PH – Ramanan

Kota Kinabalu: Menjelang pengundian esok, pengundi di Sabah diseru memilih Pakatan Harapan (PH) demi memastikan masa depan negeri itu terus terjamin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan, berkata hubungan Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kini pada tahap paling baik — mesra dan akrab — sekali gus membuka ruang lebih besar untuk memastikan kebajikan rakyat Sabah diberi perhatian sewajarnya.

Bercakap kepada media selepas meninjau persiapan akhir di Bilik Gerakan Utama Dewan Undangan negeri (DUN) Moyog, Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu yakin pengundi Sabah akan membuat pilihan berdasarkan fakta dan realiti, bukan emosi semata-mata.

“Esok hari penentuan. Saya yakin rakyat Sabah akan memilih yang terbaik demi masa depan yang lebih terjamin serta gemilang.

“Walaupun PRN kali ini disifatkan sengit dan mencabar, rekod keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap negeri Sabah tidak boleh dinafikan.

“Kerajaan MADANI telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam menjaga kepentingan Sabah secara menyeluruh. Malah, PM Anwar satu-satunya Perdana Menteri yang paling kerap turun ke Sabah bagi memastikan pelaksanaan pembangunan berjalan dengan baik,” katanya.

Tambah Ramanan, Sabah menerima peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah melalui Belanjawan MADANI, sekali gus menjadi bukti jelas kesungguhan Kerajaan Persekutuan terhadap kesejahteraan negeri ini.

Beliau menegaskan, kestabilan hubungan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat faktor utama yang perlu dipertahankan melalui pilihan raya.

“Yang penting, hubungan ini mesti dikekalkan untuk jangka masa panjang.

“Pilihan raya ialah proses demokrasi untuk memilih kerajaan yang benar-benar membawa manfaat kepada rakyat Sabah, seperti yang selalu ditekankan Anwar,” katanya sambil menyeru semua pengundi Sabah turun mengundi dan memilih PH sebagai tanda sokongan kepada masa depan negeri yang lebih stabil, makmur dan terjamin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top