Rumah Pam Taman Sri Muda sudah kembali beroperasi – Amirudin

Rumah Pam Taman Sri Muda sudah kembali beroperasi – Amirudin

bhnews@hmetro.com.my

Shah Alam: Sistem rumah pam di Taman Sri Muda bagi kawalan banjir sudah kembali berfungsi dengan baik, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, ia kembali berfungsi sekitar Rabu dan Khamis minggu lalu selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyelesaikan masalah bekalan elektrik di situ.

“Alhamdulillah… kita sudah berjaya selesaikan masalah itu. Sebelum itu, TNB tidak dapat menyalurkan tenaga atas isu tertentu.

“Dan kita melihat Sabtu lalu hujan lebat selama dua jam minimum (tetapi) tidak berlaku banjir di kawasan Taman Sri Muda (kerana pam sudah berfungsi),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Nestle di SACC, Seksyen 14 di sini hari ini.

Sementara itu Amirudin berkata, terdapat beberapa isu juga perlu ditangani seperti kunci air, perparitan.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak boleh culas dan perlu mengemas kini dan menyelenggara aset dan longkang.

“Ia penting bagi mengelakkan banjir terutama banjir kilat,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata mesyuarat koordinasi khas yang diadakan semalam turut membincangkan isu itu untuk dibentangkan sebelum dilaporkan semula kepada penduduk terbabit.

“Langkah-langkah susulan berikutnya kelak sudah ada termasuk pasukan khas yang telah diwujudkan oleh kerajaan negeri.

“Saya faham mungkin trauma mereka (penduduk) tinggi dan kita pernah berdepan dengan pelbagai isu termasuk banjir,” katanya.

Pada 20 April, media melaporkan lebih 1,500 penduduk berhimpun secara aman bagi mendesak penyelesaian isu banjir di Taman Sri Muda, Kota Kemuning dan Batu 8 di sini, yang kerap melanda kawasan itu sejak banjir besar pada 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top