Bengaluru: Rupiah Indonesia mencatat paras terendah baharu, hari ini, sekali gus mengetuai kejatuhan mata wang Asia sedang pesat membangun apabila serangan dron baharu di Teluk meningkatkan harga minyak dan hasil bon, sekali gus mengukuhkan dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai aset selamat dan menekan aset di ekonomi pengimport minyak bersih.
Konflik Asia Barat semakin memuncak apabila serangan dron mengenai aset di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi memintas dron yang memasuki ruang udaranya, dan Iran bertindak untuk mengukuhkan kawalan ke atas Selat Hormuz, laluan penting penghantaran minyak dunia.
Rupiah, antara mata wang paling lemah di rantau ini, merosot 1.19 peratus kepada 17,668 berbanding dolar AS, iaitu kejatuhan harian terbesar sejak awal September.
Pergerakan itu menandakan paras terendah baharu kedua bagi mata wang tersebut dalam tempoh seminggu dan meletakkannya di landasan untuk mencatat prestasi Mei terburuk sejak 2016, ketika pasaran Indonesia dibuka semula selepas cuti umum dan kembali tertekan.
Penyusutan rupiah kini melangkaui faktor kejutan harga minyak, apabila kebimbangan turut tertumpu kepada disiplin fiskal Indonesia, aliran keluar dana asing, kebebasan bank pusat dan tadbir urus pasaran saham susulan penyingkiran terbaharu beberapa saham daripada indeks MSCI.
Saham di Jakarta menjunam lebih empat peratus kepada 6,425.95 dalam sesi kerugian kelima berturut-turut, mencecah paras terendah sejak akhir April 2025.
Indeks penanda aras itu telah kehilangan lebih 25 peratus nilainya tahun ini.
Bank Indonesia (BI) berulang kali cuba mengekang kelemahan rupiah dengan campur tangan dalam pasaran spot, kontrak hadapan tanpa serahan domestik dan luar pesisir, serta pasaran bon kerajaan sekunder, sambil berjanji menggunakan instrumen dasar monetari untuk mengurangkan tekanan terhadap mata wang itu.
Ini menjadikan mesyuarat dasar minggu ini tumpuan utama, dengan kadar dasar BI masih pada 4.75 peratus selepas dikekalkan tujuh kali berturut-turut, manakala Citigroup menjangkakan kenaikan kadar faedah apabila pembuat dasar menimbang antara sokongan pertumbuhan ekonomi dan keperluan memulihkan keyakinan terhadap rupiah.
Rupee India turut mencatat paras terendah sepanjang masa pada 96.185 berbanding dolar AS, susut 0.2 peratus, meneruskan kejatuhan yang semakin ketara sejak konflik Iran mendorong kenaikan harga minyak pada akhir Februari.
Mata wang itu telah susut kira-kira 5.5 peratus sejak itu, menjadikannya antara mata wang Asia berprestasi paling lemah pada 2026.
Mata wang negara membangun Asia menerima tekanan akibat pengukuhan dolar AS, peningkatan hasil sebenar bon AS dan harga tenaga yang tinggi, dengan negara pengimport minyak seperti India dan Filipina menerima tekanan berganda, manakala mata wang sensitif kepada hasil bon seperti rupiah turut ditekan faktor domestik, kata penganalisis MUFG, Michael Wan.
Antara mata wang lain, ringgit melemah 0.7 peratus kepada 3.9750 berbanding dolar AS, menghampiri paras psikologi penting 4.000 dan berada di landasan untuk mencatat kerugian bagi sesi ketiga berturut-turut.
Won Korea Selatan dan dolar Taiwan masing-masing susut 0.4 peratus dan 0.3 peratus.
Indeks dolar AS meningkat untuk sesi keenam berturut-turut dengan kenaikan lebih 1.5 peratus sepanjang tempoh itu, manakala penanda aras mata wang pasaran sedang pesat membangun MSCI merosot 0.2 peratus untuk hari ketiga berturut-turut apabila penjualan besar-besaran bon global mengetatkan keadaan kewangan bagi aset berisiko.
Menurut Wan, penjualan bon itu bukan semata-mata dipacu jangkaan inflasi, malah hasil bon yang diselaraskan dengan inflasi turut meningkat dengan ketara iaitu perkembangan yang lazimnya memberi tekanan lebih besar terhadap aset berisiko dan mata wang pasaran sedang pesat membangun.
© New Straits Times Press (M) Bhd



