Rupiah terus merosot, cecah 17,424 rupiah berbanding satu dolar AS

Rupiah terus merosot, cecah 17,424 rupiah berbanding satu dolar AS
Rupiah terus merosot, cecah 17,424 rupiah berbanding satu dolar AS

Nilai rupiah terus merosot berbanding dolar AS. Foto Agensi

JAKARTA – Nilai tukaran rupiah terus mengalami penyusutan apabila ditutup lebih rendah pada dagangan Selasa susulan tekanan daripada ketegangan geopolitik global, khususnya konflik di Asia Barat.

Menurut laporan Kompas.com, mata wang Indonesia itu susut 30 mata atau 0.17 peratus kepada paras 17,424 rupiah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Penyusutan tersebut didorong oleh peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran yang kembali memuncak pada awal minggu ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global.

Serangan ketenteraan dilaporkan berlaku di kawasan Teluk, sekali gus meruntuhkan gencatan senjata yang sebelum ini sudah rapuh dan meningkatkan risiko terhadap pasaran minyak dunia.

Tentera AS turut dilaporkan memusnahkan enam bot serangan kecil milik Iran di Selat Hormuz.

Ketegangan terus memuncak apabila Iran bertindak menyerang infrastruktur tenaga di Emiriah Arab Bersatu, termasuk terminal minyak di pelabuhan Fujairah.

Penganalisis mata wang dan komoditi, Ibrahim Assuaibi berkata, situasi tersebut meningkatkan lagi ketidaktentuan pasaran global.

“Ketegangan meningkat selepas tindakan ketenteraan di selat tersebut dan serangan terhadap kemudahan tenaga di Emiriah Arab Bersatu,” katanya.

Dalam masa sama, pasaran turut memerhati langkah Presiden AS, Donald Trump, menerusi program “Project Freedom” yang bertujuan mengiringi kapal dagang di kawasan Teluk bagi memastikan laluan perdagangan lebih selamat.

Langkah itu dilihat mampu membantu kelancaran pengedaran dalam jangka pendek, namun belum menyelesaikan punca utama konflik.

Selain faktor geopolitik, tekanan turut datang daripada dasar monetari global apabila kenaikan harga tenaga meningkatkan risiko inflasi, sekali gus mendorong bank pusat mengekalkan kadar faedah tinggi lebih lama.

Keadaan itu turut mengukuhkan pulangan bon kerajaan AS, sekali gus memberi tekanan kepada aset tanpa pulangan seperti logam berharga.

Bagaimanapun, data domestik Indonesia menunjukkan prestasi ekonomi masih kukuh apabila pertumbuhan ekonomi bagi suku pertama 2026 direkodkan sebanyak 5.61 peratus tahun ke tahun. – Agensi

Scroll to Top