Moscow: Rusia dan China mempertimbangkan untuk meletakkan loji kuasa nuklear di bulan, bermula tahun 2033 hingga 2035.
Ketua Agensi Angkasa Lepas Rusia, Roscosmos, Yuri Borisov berkata, langkah itu akan membolehkan penempatan dibangunkan di bulan, pada masa akan datang.
Kata bekas timbalan menteri pertahanan itu, Rusia dan China bekerjasama dalam program bulan dan Moscow dapat menyumbang dengan kepakarannya mengenai tenaga angkasa nuklear.
“Hari ini kami serius mempertimbangkan projek di suatu tempat pada jangkaan tahun 2033 hingga 2035 untuk menghantar dan memasang unit kuasa di permukaan bulan bersama-sama dengan rakan sekerja kami dari China,” kata Borisov.
Beliau berkata, panel solar tidak akan dapat membekalkan tenaga elektrik yang mencukupi untuk menggerakkan penempatan bulan pada masa depan, namun kuasa nuklear mempunyai kemampuan itu.
“Ini cabaran yang sangat serius… ia harus dilakukan dalam mod automatik, tanpa kehadiran manusia,” katanya mengenai kemungkinan rancangan itu.
Borisov juga bercakap tentang rancangan Rusia untuk membina kapal angkasa kargo berkuasa nuklear.
“Semua persoalan teknikal berhubung projek itu diselesaikan selain mencari penyelesaian mengenai cara menyejukkan reaktor nuklear.
“Kami sedang mengusahakan bot tunda angkasa. Struktur besar ini boleh mengangkut kargo besar dari satu orbit ke orbit yang lain, mengumpul serpihan angkasa dan terbabit dalam banyak aplikasi lain,” katanya.
Sebelum ini, pegawai Rusia mendedahkan tentang rancangan bercita-cita tinggi untuk melombong di bulan, namun program angkasa lepas Rusia mengalami beberapa kemunduran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Tahun lalu, misi bulan pertamanya dalam tempoh 47 tahun gagal selepas kapal angkasa Luna-25 Rusia berpusing di luar kawalan dan terhempas.
Moscow berkata, mereka akan melancarkan misi bulan selanjutnya sebelum meneroka kemungkinan misi kru bersama Rusia-China dan pangkalan bulan.
China bulan lalu berkata, langkah itu bertujuan meletakkan angkasawan China pertama di bulan sebelum 2030.
© New Straits Times Press (M) Bhd




