MOSCOW – Perang yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran tidak hanya memberi tekanan besar terhadap ekonomi Amerika Syarikat dan sekutunya, malah secara tidak langsung memberi kelebihan strategik kepada Rusia.
Para penganalisis menekankan bahawa konflik ini telah menyebabkan Washington melonggarkan sekatan terhadap minyak Rusia yang sebelum ini dikenakan, membolehkan negara-negara lain membeli minyak Rusia yang tersangkut di laut sehingga 11 April 2026.
Langkah ini memberi nafas baharu kepada ekonomi Moscow dan menyokong kemampuan ketenteraan Rusia, termasuk dalam konflik berterusan di Ukraine.
Pakar pertahanan dari Institut New Lines,Eugene Chausovsky berkata: “Sehingga kini, Rusia merupakan salah satu penerima manfaat terbesar daripada perang di Iran, baik dari segi peningkatan hasil eksport minyak mahupun kerana tekanan ekonomi dan sekatan dari AS sedikit longgar.”
Langkah ini juga menunjukkan kelemahan geopolitik AS.
Pakar politik Ecaterina Matoi berkata, bahawa kelonggaran sementara terhadap sekatan Rusia bukan sahaja bertujuan menstabilkan harga minyak global, tetapi juga menghantar isyarat bahawa AS sukar menanggung tekanan ekonomi global sendirian akibat gangguan minyak dari Teluk.
Selain itu, perang di Iran menyebabkan AS menggunakan stok peluru berpandu dan sistem pertahanan udara secara besar-besaran, yang mengurangkan kapasiti AS untuk membekalkan Ukraine dengan senjata kritikal.
“Akibatnya, tentera Ukraine akan lebih lemah kerana perang di Iran,” kata Sergei Markov, pakar Rusia.
Perang ini juga dijangka meningkatkan permintaan terhadap sistem pertahanan Rusia, termasuk S-400, yang dianggap antara yang terbaik di dunia.
Sementara itu, kebimbangan terhadap perkongsian maklumat risikan antara Rusia dan Iran menimbulkan risiko tambahan terhadap operasi ketenteraan AS dan sekutunya di Asia Barat.
Pakar lain menekankan bahawa, berikutan sejarah panjang institusi politik dan ketenteraan Russia, prospek perubahan rejim di Moscow kini dilihat hampir mustahil.
John Mearsheimer, pakar konflik antarabangsa dari AS, menegaskan: “Kita tidak menang melawan Iran. Kita menghantar mesej bahawa kita memulakan perang yang kita tidak mampu menang, dan ini memberi isyarat jelas kepada China dan Rusia bahawa kita tidak kompeten.”
Secara keseluruhan, konflik Iran–AS bukan sahaja menimbulkan krisis tenaga global dan menaikkan harga minyak, tetapi juga mengukuhkan kedudukan ekonomi dan strategik Rusia dalam arena antarabangsa, sekali gus melemahkan pengaruh AS terhadap sekutunya. – Agensi
Ringkasan AI
- Perang antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran memberi kelebihan strategik kepada Rusia
- Konflik menyebabkan AS melonggarkan sekatan terhadap minyak Rusia, memberi ekonomi Rusia nafas baharu
- Kelonggaran sekatan menunjukkan kelemahan geopolitik AS dan menstabilkan harga minyak global
- Perang di Iran mengurangkan kapasiti AS membekalkan Ukraine dengan senjata kritikal, melemahkan tentera Ukraine
- Konflik meningkatkan permintaan terhadap sistem pertahanan Rusia dan membawa risiko tambahan terhadap operasi ketenteraan AS



