Rusia tarik balik amaran tsunami selepas gempa bumi kuat

Rusia tarik balik amaran tsunami selepas gempa bumi kuat

Moscow: Pihak berkuasa Rusia menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan susulan gempa bumi kuat yang melanda pesisir timur jauh negara itu awal pagi Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Tiada gelombang banjir besar direkodkan di Semenanjung Kamchatka, yang terletak kira-kira 130 kilometer dari pusat gempa, menurut Kementerian Pertahanan Awam di Telegram.

Kebanyakan bangunan di semenanjung itu berjaya menahan gegaran gempa bumi dan pemeriksaan terhadap struktur bangunan masih dijalankan, menurut pihak berkuasa.

Sebuah pantai dikosongkan kerana risiko tsunami, dengan pasukan penyelamat membawa kira-kira 60 orang ke kawasan selamat, menurut kenyataan itu.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata, tiada kematian dilaporkan setakat ini dan sistem amaran berfungsi dengan baik.

Gempa bumi besar itu mencetuskan amaran tsunami kepada jutaan orang di seluruh rantau Pasifik, termasuk di Jepun, Amerika Syarikat dan Mexico.

Namun, beberapa jam selepas gempa menggegarkan Timur Jauh Rusia, tiada kerosakan besar dilaporkan pada Rabu. Di banyak kawasan, amaran tsunami ditarik balik atau diturunkan tahapnya.

Gempa bumi utama berlaku kira-kira 11:24 pagi waktu tempatan (2324 GMT Selasa) dan dicatatkan pada magnitud 8.8 oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menjadikannya gempa terkuat di dunia sejak bencana Fukushima di Jepun pada Mac 2011 dan antara enam gempa paling kuat pernah direkodkan. Pihak berkuasa Rusia pula melaporkannya pada magnitud 8.7.

Menurut Akademi Sains Rusia, ini adalah gempa paling kuat yang pernah melanda Kamchatka sejak 1952. Pusat gempa terletak di laut terbuka, kira-kira 130 kilometer dari pantai yang jarang dihuni.

Beberapa gempa susulan direkodkan di rantau itu, menurut USGS.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top