Rusia tidak setuju dengan AS berhubung isu bilateral, sekatan – Lavrov

Rusia tidak setuju dengan AS berhubung isu bilateral, sekatan – Lavrov
Rusia tidak setuju dengan AS berhubung isu bilateral, sekatan – Lavrov

Sergey Lavrov – Foto: Agensi

ANTALYA (Turkiye) – Moscow mempunyai banyak perkara yang tidak dipersetujui dengan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) pada masa ini berhubung isu-isu bilateral dan sekatan, kata Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov pada Sabtu.

“Kami mempunyai banyak perselisihan faham dengan pentadbiran AS sekarang mengenai perkara-perkara yang sedang berkembang secara praktikal: tiada sekatan yang ditarik balik sejak zaman Biden, malah harta diplomatik juga belum dikembalikan, dan syarikat kami telah pun dikenakan sekatan baharu,” kata Lavrov di Forum Diplomasi Antalya, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Menurut Lavrov, sudah tiba masanya untuk mengadakan perbincangan dengan AS mengenai bagaimana Amerika melihat masa depan hubungan ekonominya dengan Rusia.

Mengenai hubungan Rusia-China pula, beliau berkata tidak wujud pergantungan sepihak, manakala hubungan perdagangan dan tenaga adalah seimbang.

“Selain industri tenaga serta minyak dan gas, kami mempunyai kerjasama yang sangat maju dengan China dalam tenaga nuklear, teknologi tinggi lain, angkasa lepas dan banyak lagi. Oleh itu, saya tidak melihat sebarang pergantungan sepihak di sini,” katanya sambil menambah bahawa Rusia berminat dalam pembekalan tenaga ke China.

Beliau juga menyatakan bahawa adalah sukar untuk membayangkan Perancis dan United Kingdom (UK) mengambil pendekatan membina terhadap Rusia pada ketika ini.

“Adalah sukar untuk mengharapkan rakan sejawat kami dari Perancis dan British untuk mengambil pendekatan yang munasabah sekarang. Dalam ucapan dan kenyataan awam mereka – sekurang-kurangnya bagi mereka yang berkuasa di Paris, London, Berlin dan Brussels – mereka telah meletakkan diri dalam kedudukan yang tidak membolehkan mereka berundur tanpa menanggung malu.

“Tanpa kehilangan kepercayaan pengundi mereka sepenuhnya. Tanpa mendedahkan diri mereka sebagai pihak yang langsung tidak mempedulikan masa depan negara masing-masing,” kata Lavrov.

Mengenai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), beliau berkata perikatan itu kini tidak berada dalam keadaan terbaik, sambil menegaskan bahawa Rusia tidak mencampuri urusan dalaman pertubuhan berkenaan. – Bernama

 

 

Scroll to Top