LVIV: Russia mengesahkan tenteranya menghentikan serangan berhampiran dua bandar di Ukraine hari ini, bagi membenarkan pemindahan orang awam.
Bagaimanapun, Russia dilihat masih meneruskan pencerobohan secara meluas di Ukraine, dengan ibu negara itu, Kyiv, diserang semula.
Menurut Kementerian Pertahanan Russia, unitnya membuka laluan kemanusiaan berhampiran bandar Mariupol dan Volnovakha yang dikepung oleh tenteranya, lapor agensi berita Russia, RIA.
Di Mariupol, orang awam akan dibenarkan untuk meninggalkan bandar itu untuk tempoh lima jam, menurut kenyataan pegawai bandar berkenaan.
Kerajaan Ukraine memaklumkan rancangan itu adalah untuk memindahkan sekitar 200,000 orang dari Mariupol dan 15,000 lagi dari Volnovakha manakala pasukan Palang Merah menjadi penjamin gencatan senjata.
Tidak ada pengesahan serta-merta serangan dihentikan dan tidak jelas sama ada gencatan senjata akan diperluaskan ke kawasan lain, ketika pencerobohan Russia ke atas Ukraine memasuki hari ke sepuluh.
Berdasarkan laporan berita RIA, Kementerian Pertahanan Russia berkata serangan meluas akan diteruskan di Ukraine.
Mengikut laporan berita Ukraine, Suspilne, yang memetik kenyataan pihak berkuasa di Sumy, kira-kira 300 kilometer (km) dari Kyiv, terdapat risiko pertempuran di jalanan bandar itu dan menggesa penduduk supaya kekal dalam tempat perlindungan.
Perunding Ukraine, Mykhailo Podolyak, berkata pusingan kedua perbincangan gencatan senjata dengan Russia tidak membuahkan hasil yang diharapkan Kyiv selain persetujuan mengenai koridor kemanusiaan.
Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksii Reznikov, berkata 66,224 lelaki Ukraine di luar negara kini kembali ke tanah air bagi menyertai perjuangan dan sudah membentuk 12 lagi briged bersenjata.
Sementara itu, tentera Ukraine, dalam satu kenyataan hari ini, berkata tentera bersenjata ‘berjuang dengan hebat’ untuk membebaskan bandar-bandar di negara itu daripada dijajah Russia.
Sebahagian besar penduduk Ukraine juga mengangkat senjata bagi mempertahankan tanah air dengan melakukan serangan balas menentang tentera Russia di beberapa kawasan serta mengganggu sistem komunikasi.
“Unit penceroboh hilang semangat, tentera dan pegawai tentera penjajah terus menyerah diri, melarikan diri, meninggalkan senjata dan peralatan di tanah Ukraine.
“Sekurang-kurangnya 39 pesawat Russia dan 40 helikopter musnah. Ribuan orang menunggu selama berjam-jam semalam di luar stesen kereta api di barat bandar Lviv untuk menaiki kereta api menuju ke Poland.
“Keluarga yang tiba dengan hanya membawa sedikit barang. Ada berkerusi roda, yang lain ditemani anjing dan kucing peliharaan yang tidak pasti tentang nasib mereka,” katanya.
Seorang pelarian, Yana Tebyakina, berkata dia hanya sempat mengambil barang yang diperlukan seperti pakaian dan semua yang lain terpaksa ditinggalkan di rumah.
Pengeboman dilaporkan semakin buruk sejak kebelakangan ini di Kharkiv dan Chernihiv, dua bandar di timur laut. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd



