Russia tunggu cadangan baharu Trump tamatkan perang Ukraine

Russia tunggu cadangan baharu Trump tamatkan perang Ukraine

MOSCOW: Russia percaya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, serius dalam usaha untuk menamatkan perang di Ukraine dan bersedia menunggu Washington mengemukakan cadangan baharu bagi mencapai penyelesaian konflik itu.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata pendirian itu dibuat walaupun AS masih meneruskan penghantaran senjata kepada Kyiv.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Russia akan terus menggunakan pendekatan ketenteraan bagi mencapai objektifnya sementara menunggu perkembangan rundingan.

“Ya, (peperangan) bukan pilihan yang diutamakan, tetapi memandangkan tiada prospek keamanan, kami akan meneruskannya sehingga ke penghujung, sehingga kemenangan mutlak. Namun, kami akan menunggu cadangan baharu (daripada AS),” kata Peskov kepada televisyen kerajaan Russia.

Kenyataan itu dibuat selepas beliau ditanya sama ada Moscow masih bersedia menunggu lebih lama untuk Washington mengemukakan idea baharu selepas usaha terdahulu bagi menamatkan perang tidak membuahkan hasil.

Kenyataan Peskov itu mencerminkan hasrat Kremlin untuk meneruskan hubungan diplomatik dengan Trump, selain meletakkan kesalahan terhadap sekutu Eropah Ukraine yang didakwa memanjangkan konflik yang kini memasuki separuh daripada tahun kelima.

“Amerika, Presiden Trump dan perundingnya, ikhlas dalam usaha mereka untuk merangka pilihan yang boleh diterima semua pihak. Pilihan yang mereka kemukakan telah diterima oleh kami, tetapi ditolak oleh pihak Ukraine.

“Amerika tidak dapat meyakinkan Ukraine… yang didorong oleh pihak Eropah,” kata Peskov.

Rundingan damai tiga hala terakhir antara Russia, Ukraine dan AS berlangsung pada Februari lalu, sebelum Washington dan Israel terlibat dalam konflik dengan Iran. Kremlin berulang kali menyatakan harapan agar usaha pengantaraan AS dapat disambung semula selepas krisis di Asia Barat reda.

Diplomat tertinggi AS dan Russia mengadakan pertemuan ringkas di Asia minggu ini. Russia sejak beberapa minggu lalu menyatakan kesediaan untuk menjadi tuan rumah rundingan dengan utusan Trump di Moscow, namun tiada tarikh ditetapkan.

Peskov berkata, pendirian AS masih tidak jelas kerana negara itu terus membekalkan Ukraine dengan sejumlah besar senjata, namun pada masa sama menyatakan hasrat untuk menamatkan perang.- AGENSI

 

Scroll to Top