Rusuhan di Paris: 'Kami terperangkap kerana kanan dan kiri tiada jalan keluar'

Rusuhan di Paris: 'Kami terperangkap kerana kanan dan kiri tiada jalan keluar'

Kuala Lumpur: Seorang rakyat Malaysia berkongsi berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam rusuhan yang melumpuhkan kota Paris, Perancis, semalam (waktu tempatan).

Ozil Zainal, menerusi akuannya di Threads, berkata ketika kejadian dia sedang memandu untuk memasuki Paris selepas mendapati lalu lintas ke kota raya itu agak lengang.

“Ketika melalui satu jalan, tiba-tiba semua kenderaan berhenti kerana terdapat segerombolan perusuh melalui kawasan berkenaan.

“Saya dan kenderaan lain tidak dapat bergerak, kami terperangkap kerana kanan dan kiri tiada jalan keluar.

“Kami terpaksa menunggu sehingga keadaan beransur aman dan lalu lintas lancar. Kelihatan pihak keselamatan termasuk bomba dan ambulans turut berkejar ke tempat rusuhan,” katanya yang kesal kerana rusuhan itu turut mengakibatkan banyak harta benda awam musnah.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang kebetulan berada di Paris turut berkongsi keadaan cemas ketika sedang membeli-belah di sebuah butik jenama mewah.

Menerusi akuan di Threads, Lili Abroad, wanita berkenaan berkata di bersyukur kerana dapat bergerak dari kawasan rusuhan itu dengan cepat sebelum ia menjadi lebih buruk.

“Masa dalam LV ( butik Louis Vuitton) pintu premis dikunci dan beberapa (butik lain) pun tutup pintu,” katanya.

Menurutnya, dia sudah mendapat makluman daripada sumber lebih mengenai demonstrasi berkenaan dan bergerak lebih awal untuk membeli-belah.

“Rusuhan itu dianggarkan bermula jam 5 petang ,” katanya yang kini sudah pun bergerak ke Selatan Perancis untuk urusan lanjut.

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang dipercayai menetap di Limoges, Perancis, Mohd Khairul Razikin menerusi akaun Threads berkata, dia sedih apabila mendapat tahu bangunan ikonik di bandar berkenaan turut menjadi sasaran dalam rusuhan semalam.

Katanya, bangunan Hotel de ville de Limoges yang terletak kira-kira lima minit dari kediamannya musnah dibakar.

“Bangunan ini tersergam indah sejak tahun 1883. Sedih melihat suasana yang berlaku hari ini,” katanya.

Gelombang rusuhan dan protes besar-besaran sedang melanda beberapa negara di Eropah sejak September lalu dan memuncak di beberapa bandaraya utama termasuk Paris dan Milan, Itali pada Sabtu lepas (waktu tempatan).

Krisis berkenaan dikatakan dicetuskan oleh gabungan kemarahan terhadap beberapa isu khususnya kebajikan pelajar, kemerosotan perkhidmatan awam dan peningkatan kos sara hidup.

Rusuhan besar-besaran berkenaan mencetuskan antara keganasan paling buruk dalam sejarah negara itu sejak beberapa dekad lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top