KUALA LUMPUR – Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 masih mempunyai beberapa kelemahan utama, khususnya membabitkan penglibatan Parlimen dalam proses pelantikan serta pengawasan terhadap Pendakwa Raya.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) memaklumkan, walaupun cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan langkah yang positif, beberapa aspek penting dalam RUU berkenaan masih perlu diperkukuhkan.
Menurut kedua-dua pertubuhan itu, antara kelemahan yang dikenal pasti ialah peranan Parlimen dalam pelantikan Pendakwa Raya yang disifatkan masih tidak jelas dan tidak memberi fungsi yang benar-benar bermakna.
“Cadangan pindaan tersebut juga tidak jelas sama ada merujuk kepada Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
“Dalam cadangan pindaan RUU, Parlimen hanya boleh memberi ulasan tanpa sebarang peruntukan yang membolehkan Parlimen mengesyorkan atau tidak mengesyorkan calon Pendakwa Raya kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP),” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Khamis.
Bersih dan Ideas berpandangan Perlembagaan perlu memperincikan kuasa Dewan Rakyat untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti serta mengesyorkan atau tidak mengesyorkan calon Pendakwa Raya sebelum nama calon dikemukakan semula kepada SPKP bagi tujuan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurut kenyataan itu, peruntukan yang jelas penting bagi membolehkan Parlimen menggubal mekanisme berkaitan pelantikan, pemecatan serta pelaporan Pendakwa Raya.
Jelas kenyataan itu, cadangan mewajibkan Pendakwa Raya mengemukakan laporan tahunan kepada Parlimen masih belum mencukupi bagi memastikan fungsi semak dan imbang dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Laporan tahunan itu tidak seharusnya terhad kepada aspek pentadbiran, pengurusan dan kedudukan kewangan sahaja, sebaliknya perlu merangkumi dasar serta keputusan pendakwaan yang mempunyai kepentingan awam.
“Pengawasan Parlimen perlu menjangkau penelitian terhadap dasar-dasar yang diambil oleh Pendakwa Raya serta keselarian keputusan pendakwaan dengan garis panduan atau etika yang ditetapkan, terutama dalam isu melibatkan DNA, DNAA dan NFA,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Bersih dan Ideas menyambut baik syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) supaya SPKP diberi kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan Pendakwa Raya.
Tambah kenyataan itu, cadangan tersebut selaras dengan saranan mereka sebelum ini bagi memastikan institusi Yang di-Pertuan Agong terus dilindungi daripada sebarang pertikaian politik berkaitan keputusan atau prestasi Pendakwa Raya.
Sehubungan itu, Bersih dan Ideas menyatakan kesediaan menyokong RUU berkenaan dengan syarat penglibatan Parlimen diperkasakan secara lebih substantif bagi menjamin ketelusan, akauntabiliti dan kebebasan institusi Pendakwa Raya daripada sebarang pengaruh politik.



