khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dijadual akan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Ke-15, 2026, kata Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, RUUPIN itu pada asalnya dijadual dibentangkan tahun ini, namun berlakunya perubahan apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta kerajaan menentukan pihak yang mahu memantau akta berkenaan.
“Macam kalau kita ada akta untuk kita buat MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia), mesti ada agensi. Jadi, kalau kita buat RUUPIN, mesti ada agensi untuk kita pantau pelepasan karbon dalam Malaysia.
“Agensi ini kita sedang fikirkan sama ada kita nak buat agensi seperti MPOB, maka ia menghubungkan dengan kerajaan atau secara berasingan. Inilah menyebabkan (pembentangannya) lambat sedikit.
“Tetapi insya-Allah pada penggal pertama tahun depan kita akan mula bentang RUUPIN ini,” katanya semasa penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata, pada masa ini, draf RUUPIN sedang dalam semakan AGC dan dengan berkuatkuasanya akta itu nanti, ia akan menjadi panduan berasaskan perundangan yang mengarus perdana agenda perubahan iklim seperti tindakan mitigasi, adaptasi atau kedua-duanya sekali.
“RUUPIN bertindak sebagai instrumen perundangan bagi mendepani isu perubahan iklim melalui pelaksanaan dasar, pengawalseliaan serta mekanisme pelaporan yang menyeluruh bagi memastikan pembangunan negara kekal mampan dan berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim,” katanya.
Menyentuh mengenai isu Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan, Gerik bertukar warna kebiruan, Johari menyatakan antara kemungkinan yang berlaku adalah disebabkan perlombongan nadir bumi (REE).
Beliau berkata, Bahagian Kimia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) kini sedang melihat punca air sungai berkenaan bertukar warna.
“Kita minta JAS dan Bahagian Kimia untuk semak, tetapi saya difahamkan tadi sudah tidak ada (warna) hijau dan tidak ada biru,” katanya.
Katanya, antara prosedur operasi standard (SOP) terbaru yang akan dilaksanakan adalah berkait isu pengurusan sisa dalam perlombongan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




