
Iran dedah cadangan terkini kepada AS untuk tamatkan perang . – Agensi
TEHERAN – Iran pada Selasa mendedahkan butiran cadangan terkininya yang dikemukakan kepada Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan perang yang dicetuskan Washington dan Israel terhadap Teheran pada Februari, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Butiran itu didedahkan oleh Timbalan Menteri Luar Iran Kazem Gharibabadi semasa mesyuarat bersama Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen, ketika beliau membentangkan laporan menyeluruh mengenai perkembangan terkini diplomasi antara Iran dan AS.
Gharibabadi berkata cadangan Tehran menekankan “haknya untuk memperkaya uranium dan menjalankan aktiviti nuklear secara aman,” menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Cadangan itu turut merangkumi “penamatan konflik di semua medan, termasuk Lubnan; penamatan sekatan laut oleh AS; pembebasan aset Iran; serta pampasan oleh AS terhadap kerosakan akibat perang terbaharu bagi menyokong usaha pembinaan semula.”
Beliau berkata ia juga menegaskan “pemansuhan semua sekatan unilateral dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta pengunduran tentera AS dari kawasan sekitar Republik Islam itu.”
Pada 10 Mei, Iran menyerahkan responsnya terhadap cadangan AS untuk menamatkan perang menerusi Pakistan, namun Presiden Donald Trump menyifatkan cadangan Iran itu sebagai “langsung tidak boleh diterima.”
Media Iran melaporkan pada Isnin bahawa Iran telah mengemukakan cadangan disemak semula yang mengandungi 14 perkara kepada pihak AS melalui perantara Pakistan.
Pada Sabtu, Trump sekali lagi mengancam peningkatan ketenteraan baharu terhadap Iran dengan memuat naik imej di platform Truth Social miliknya yang memaparkan kapal perang mengibarkan bendera Amerika, termasuk sebuah kapal yang membawa bendera Iran, bersama frasa “IT WAS CALM BEFORE THE STORM.” (KEADAAN TENANG SEBELUM RIBUT)
Pada malam Isnin, Trump mengumumkan bahawa beliau menangguhkan serangan yang dirancang pada Selasa terhadap Iran atas permintaan Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Beliau menambah dalam satu hantaran bahawa beliau telah mengarahkan Jabatan Pertahanan “bersedia untuk melancarkan serangan berskala penuh dan besar terhadap Iran pada bila-bila masa” sekiranya perjanjian yang boleh diterima gagal dicapai. – Bernama



