SHAH ALAM – Harta bukan milik mutlak manusia, sebaliknya amanah yang perlu diurus dengan penuh integriti dan rasa syukur.
Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf Felda, Hisyam Ahmad berkata, perkara itu terbukti melalui firman ALLAH SWT dalam al-Quran yang mengingatkan manusia supaya membelanjakan sebahagian daripada harta yang dikurniakan sebelum datangnya saat kematian.
“Kenapa kita perlu berwakaf? Setiap harta yang dimiliki manusia sebenarnya adalah amanah daripada ALLAH SWT.
“Manusia sering sibuk bekerja keras untuk mengumpul kekayaan, meningkatkan pendapatan dan mengejar keselesaan hidup. Namun, di sebalik setiap rezeki yang diperoleh, terdapat tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan iaitu membantu golongan yang memerlukan.
“Jangan kita fikir harta yang kita terima memang sepenuhnya milik kita. Dalam harta itu ada bahagian yang ALLAH tetapkan untuk kita bantu orang lain,” katanya kepada Rasuah Busters selepas perbincangan kolaborasi pada Selasa.
Waqaf Felda merupakan sebuah entiti korporat yang berperanan mengagihkan manfaat wakaf yang dijana menerusi pendapatan dan keuntungan daripada pelbagai aktiviti perniagaan serta pelaburan di samping memelihara dan mengembangkan dana wakaf terkumpul.
Manfaat yang diagihkan pula dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira sempadan geografi, agama dan bangsa.
Tambah Hisyam, antara kaedah terbaik yang terbukti keberkatannya sejak ratusan tahun lalu ialah melalui wakaf.
Ujarnya, menerusi konsep wakaf, sesuatu harta yang dimiliki akan diserahkan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat dan ummah dalam tempoh yang panjang.
“Wakaf bukan sekadar memberi bantuan sekali lalu, tetapi menjadi sumber pahala yang berterusan selagi manfaat itu digunakan.
“Sama ada wakaf berbentuk pembinaan surau, tanah perkuburan, kelengkapan jenazah atau wakaf korporat, semuanya membawa tujuan yang sama iaitu memberi manfaat kepada manusia,” katanya.
Menurut beliau, konsep wakaf korporat yang dilaksanakan oleh Waqaf Felda mempunyai nilai yang sangat besar kepada masyarakat.
Katanya, harta yang diwakafkan tidak dihabiskan sebaliknya dilaburkan bagi menjana keuntungan yang kemudiannya disalurkan kembali kepada rakyat yang memerlukan.
“Bayangkan seseorang mewakafkan RM1,000 dan harta itu terus dilaburkan serta dimanfaatkan sampai kiamat, insya-ALLAH pahala itu akan terus mengalir,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan amalan memberi dan membantu orang lain merupakan tanda kesyukuran sebenar kepada ALLAH SWT.
Beliau berkongsi bahawa semakin ramai manusia membudayakan sifat suka memberi, semakin besar manfaat yang dapat dirasai oleh masyarakat.
“ALLAH suka orang yang membantu orang lain. Bila budaya memberi ini hidup dalam masyarakat, ramai orang akan mendapat manfaat daripada harta yang kita miliki,” katanya.
Turut hadir pada perjumpaan tersebut ialah Eksekutif Waqaf Felda, Mohd Nasharuddin Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin serta wakil Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) dan Sinar Harian.



