RXZ Members 8.0: Tiada 'roadblock', Bukit Aman guna rakaman video bukti kesalahan

RXZ Members 8.0: Tiada 'roadblock', Bukit Aman guna rakaman video bukti kesalahan

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman tidak bercadang mengadakan sekatan jalan raya sempena acara RXZ Members 8.0 yang dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula Jumaat ini di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.

Sebaliknya, pihak polis akan menggunakan kaedah risikan serta rakaman video sebagai proses pembuktian untuk sebarang tindakan susulan perlu diambil selaras peruntukan undang-undang sedia ada.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, berkata pihaknya akan melaksanakan pendekatan seimbang yang menggabungkan bimbingan kepada peserta acara itu meliputi pendidikan keselamatan jalan raya, dengan penguatkuasaan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

Beliau berkata, JSPT akan mendekati golongan muda melalui sesi penerangan dan bimbingan berkaitan keselamatan jalan raya, namun tidak berkompromi terhadap kesalahan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Kita mahu mendidik dan membimbing golongan muda mengenai kepentingan keselamatan jalan raya sepanjang penganjuran acara berkenaan, serta menekankan aspek undang-undang keselamatan jalan raya.

“Pada masa sama, kita akan tetap tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang serta membahayakan keselamatan orang lain, termasuk melalui risikan, merakam video serta bukti-bukti lain bagi mengesan kesalahan dilakukan pengguna jalan raya.

“Ini termasuk menunggang atau memandu dalam keadaan membahayakan, melebihi had laju dibenarkan serta kesalahan lain yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Muhammed Hasbullah berkata, semua kesalahan trafik, termasuk memandu melebihi had laju dan perbuatan berbahaya lain, akan didokumentasikan serta disiasat sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Beliau menegaskan sebarang kebenaran yang diberikan bagi aktiviti tertentu, tidak boleh dianggap sebagai lesen untuk melanggar peraturan lalu lintas atau menyalahgunakan jalan awam.

“Kelulusan itu diberi bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan mengurangkan gangguan sepanjang acara berlangsung.

“Ia bukan bermaksud sesiapa diberi hak untuk melanggar undang-undang atau menggunakan jalan raya secara melulu.

“Jalan raya adalah untuk kegunaan semua pihak dan perlu digunakan secara bertanggungjawab.

“Ia bukan tempat untuk berkelakuan tidak bertanggungjawab atau melakukan aksi berbahaya,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan penguatkuasaan itu akan dilaksanakan selaras arahan kepimpinan JSPT, dengan aspek keselamatan awam terus menjadi keutamaan jabatan.

Terdahulu di Terengganu, penganjur RXZ Members 8.0, Mohamad Faizal Mat Ali, mengumumkan perubahan slogan ‘Yang Kental Pasti Sampai’ kepada ‘Yang Santai Pasti Sampai’, sebagai usaha memastikan keselamatan peserta menjadi keutamaan serta mengelak sebarang kejadian tidak diingini sepanjang program berlangsung.

Mohamad Faizal dipetik berkata, perubahan slogan itu bukan sekadar pembaharuan, sebaliknya membawa mesej jelas kepada semua peserta supaya mengamalkan budaya menunggang motosikal secara berhemah ketika dalam perjalanan ke lokasi program.

RXZ Members 8.0 dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peminat motosikal RXZ dari seluruh negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top