Tokyo: Pusat beli-belah Aeon yang musnah dalam satu letupan susulan gempa bumi di selatan Jepun pada Selasa baharu sahaja dibuka semula bulan lalu.
Ia dinaiktaraf sebagai kompleks beli-belah dan hiburan bagi memperingati pemulihan daripada gempa bumi dahsyat yang mengorbankan ratusan nyawa sedekad lalu.
Pusat beli-belah itu mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi Kumamoto bermagnitud 7.3 pada April 2016 sehingga terpaksa ditutup selama beberapa bulan, manakala kerja pembinaan semula mengambil tempoh yang lebih panjang.
Ketika projek pembangunan semula dan pembesaran dijalankan pada 2017, pihak pengurusan menekankan penambahbaikan ciri keselamatan, termasuk siling yang diperkukuh bagi menahan gempa bumi serta peningkatan keseluruhan dari segi ketahanan struktur.
Selepas kilang pengeluar cip Taiwan, TSMC, mula beroperasi di Kumamoto pada 2024, jumlah pengunjung ke pusat beli-belah Aeon meningkat kepada lebih lapan juta orang setahun.
Kompleks itu menempatkan kira-kira 200 premis perniagaan dan kedai, sebuah pawagam serta ruang parkir yang boleh memuatkan sehingga 5,000 kenderaan.
Namun pada Selasa, sebahagian besar kompleks berkenaan bertukar menjadi timbunan runtuhan.
Menurut NHK dan beberapa penyiar Jepun lain, ramai dikhuatiri maut atau masih terperangkap di dalam bangunan itu.
Polis Kumamoto pula memaklumkan risiko gempa susulan menyebabkan operasi mencari dan menyelamat tidak dapat dimulakan kerana struktur bangunan yang sudah tidak stabil.
Pusat gempa dilaporkan hanya beberapa kilometer dari lokasi berkenaan.
Ketika gempa bermagnitud 7.1 itu melanda pada lewat petang Selasa, kakitangan pusat beli-belah turut membantu membawa pengunjung keluar dari bangunan, kata seorang jurucakap Aeon.
Pihak berkuasa wilayah berkata kira-kira 200 orang berjaya dipindahkan ke tempat selamat.
Kira-kira sejam kemudian, satu letupan kuat meruntuhkan dinding bangunan dan mendedahkan sebahagian besar struktur dalaman.
NHK melaporkan antara 20 hingga 30 kakitangan pusat beli-belah itu belum dapat dikesan.
Saksi turut memaklumkan mereka menghidu bau gas di kawasan berkenaan.
Di bandar kecil Jepun, pusat beli-belah Aeon sering menjadi tumpuan masyarakat untuk membeli-belah dan beriadah.
Selepas gempa bumi Kumamoto pada 2016, sebuah pasar raya di dalam pusat beli-belah itu menjual bebola nasi onigiri pada harga hanya 10 yen sebiji bagi membantu meringankan beban mangsa bencana.
Pembukaan semula Aeon Kumamoto pada 13 Jun tahun ini sepatutnya menjadi permulaan baharu buat kompleks berkenaan.
“Sempena ulang tahun ke-21 pembukaan pusat beli-belah ini dan ulang tahun ke-10 pemulihan wilayah ini (daripada gempa bumi 2016), kami melaksanakan pembaharuan besar-besaran terhadap pusat beli-belah ini.
“Menerusi inisiatif ‘permulaan semula’ ini, kami akan melangkah ke fasa baharu dan berusaha menjadi sebuah pusat beli-belah yang membawa kegembiraan kepada pelanggan di seluruh rantau ini,” menurut Aeon Kumamoto dalam kenyataan media sempena pembukaan semula itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




