Sabah cipta sejarah lulus RUU Pewarisan Orang Islam pertama di Malaysia

Sabah cipta sejarah lulus RUU Pewarisan Orang Islam pertama di Malaysia

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Sabah mencipta sejarah apabila meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pewarisan Orang Islam 2026, yang menjadi undang-undang pertama di Malaysia khusus berkaitan pengurusan harta pusaka orang Islam di bawah punca kuasa dan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap EXCO Agama Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata penggubalan RUU itu menyediakan kerangka perundangan yang kukuh dan menyeluruh berasaskan hukum syarak.

Katanya, ia bagi memastikan pengurusan harta pusaka orang Islam dilaksanakan secara teratur serta mematuhi syariah.

“Pengurusan harta pusaka bukan sekadar melibatkan pembahagian harta, malah ia adalah tuntutan fardu kifayah yang membabitkan hak si mati, hak waris serta tuntutan agama.

“RUU ini memastikan setiap fasa pengurusan daripada penentuan waris, pelunasan hutang, pelaksanaan wasiat sehingga pembahagian faraid dilaksanakan secara adil, saksama dan patuh syariah.

“Saya ingin menegaskan bahawa RUU ini mencipta sejarah tersendiri. Ini merupakan undang-undang pertama di Malaysia yang khusus berkaitan pengurusan harta pusaka orang Islam di bawah punca kuasa dan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“RUU ini turut memberi kejelasan perundangan kepada mualaf untuk menguruskan harta mereka lebih awal dengan menggalakkan perancangan harta semasa hidup melalui instrumen hibah, hadiah wasiat atau apa-apa kaedah yang dibenarkan syarak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Pada persidangan sama, DUN Sabah turut meluluskan RUU Mahkamah Anak Negeri 2026 yang bertujuan memperkukuhkan institusi Mahkamah Anak Negeri menerusi kerangka perundangan yang lebih komprehensif, moden dan tersusun.

Mohd Arifin berkata, pembaharuan itu diperlukan memandangkan enakmen sedia ada telah berkuat kuasa sejak tahun 1992.

“Sistem kehakiman adat perlu diperkasakan bagi memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan identiti serta keunikan adat Anak Negeri Sabah,” katanya.

“RUU berkenaan bukan bertujuan mengubah, menyeragamkan atau menghapuskan adat sebaliknya memperkemaskan institusi dan tatacara pentadbiran keadilan adat supaya pelaksanaannya menjadi lebih teratur, adil serta diyakini masyarakat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top