saufi@mediaprima.com.my
Melihat kepada lambakan pilihan telefon pintar dalam pasaran ketika ini, tidak semua peranti mampu menawarkan keseimbangan antara fotografi, prestasi dan ketahanan bateri dalam satu pakej lengkap.
Menerusi Xiaomi 17T, model ini dilihat berjaya memenuhi keperluan pengguna moden yang mahukan sebuah ‘daily driver’ serba boleh tanpa kompromi besar.
Apa yang paling menarik perhatian penulis sudah tentu sistem kamera hasil kerjasama bersama Leica. Xiaomi 17T hadir dengan lensa Leica Summilux yang dipadankan bersama sensor Light Fusion 800 bersaiz 1/1.55 inci dan apertur f/1.7.
Penulis gemar merakam gambar landskap, keindahan alam menggunakan lensa makro, mercu tanda ketika malam dan gemerlapan lampu.
Semua itu dapat dicapai menggunakan peranti Xiaomi 17T hasil padanan lensa dan imej yang terhasil begitu mengagumkan walaupun dalam pencahayaan yang sangat kurang.
Bagi penggunaan harian, gambar yang dihasilkan tampak lebih natural dengan tona warna yang tidak terlalu diproses.
Situasi cahaya rendah juga dikendalikan dengan baik, terutama ketika mengambil gambar pada waktu malam atau di dalam bangunan dengan pencahayaan minimum.
Penulis merasai perbezaan paling ketara apabila menggunakan kamera telefoto 50MP yang menawarkan lima kali zum optikal serta 10 kali lossless zoom.
Ia memberikan fleksibiliti lebih luas untuk fotografi potret dan rakaman jarak jauh tanpa kehilangan terlalu banyak detail imej.
Xiaomi turut memberi keseimbangan lebih baik pada keseluruhan sistem kamera dengan tiga jarak fokus utama iaitu 15mm ultra lebar, 23mm standard dan 115mm telefoto.
Pendekatan ini menjadikan pengalaman fotografi terasa lebih lengkap berbanding generasi sebelumnya.
Bukan itu sahaja, kemampuan rakaman video sehingga 4K 60fps turut menjadikan peranti ini sesuai untuk pencipta kandungan.
Penulis mendapati rakaman video kelihatan stabil dengan warna yang konsisten, sesuai digunakan untuk media sosial atau penghasilan kandungan harian.
Menyentuh aspek prestasi pula, cipset Mediatek Dimensity 8500-Ultra memberikan pengalaman penggunaan yang lancar sepanjang tempoh penggunaan penulis.
Sama ada untuk tugasan harian, kepelbagaian tugas mahupun permainan mudah alih, peranti ini mampu beroperasi tanpa masalah besar.
Digandingkan bersama Xiaomi HyperOS 3, sistem operasi terasa lebih responsif dan ringan.
Penulis juga menyukai pendekatan Xiaomi yang masih mengekalkan reka bentuk lebih kompak menerusi skrin 6.59 inci.
Ia selesa digunakan dengan satu tangan, sesuatu yang semakin sukar ditemui pada telefon pintar moden.
Paparan 120Hz dengan kecerahan puncak 3500 nits pula memastikan pengalaman visual kekal terang dan lancar walaupun digunakan di bawah cahaya matahari.
Kapasiti bateri 6,500mAh menjadi pelengkap utama kepada pengalaman penggunaan harian.
Sepanjang penggunaan penulis, peranti ini mampu bertahan lebih sehari dengan mudah.
Sokongan 67W HyperCharge juga membantu mengurangkan masa menunggu ketika mengecas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




