Sabah jadi 'medan latihan' sebelum pegawai berpindah keluar – Dzulkefly

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Sabah kehilangan 57 pakar perubatan yang berpindah keluar dari negeri itu tahun lalu, berbanding hanya 12 melaporkan diri untuk bertugas, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, keadaan itu mencerminkan masalah berterusan apabila Sabah sering menjadi lokasi latihan atau persinggahan sementara bagi tenaga perubatan sebelum mereka memohon pertukaran ke negeri lain.

“Realitinya, Sabah sering dianggap sebagai medan latihan atau sekadar persinggahan sementara sebelum pegawai memohon untuk berpindah keluar dari negeri ini.

“Kitaran latihan, berkhidmat dan kemudiannya kehilangan pegawai berpengalaman ini mengancam kesinambungan perkhidmatan kita,” katanya dalam satu kenyataan selepas berucap pada Program Dialog Menteri Kesihatan di Dewan Wisma Wanita, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, trend sama turut berlaku dalam kalangan pegawai farmasi apabila 174 pegawai melaporkan diri untuk bertugas di Sabah, manakala 115 memohon pertukaran keluar pada tahun sama.

Katanya, data terkini menunjukkan kadar pengisian tenaga kerja kesihatan di Sabah hanya 88.51 peratus, dengan kekurangan sebanyak 3,557 jawatan.

Ketika ini, Sabah mempunyai 2,546 doktor, 549 pakar perubatan dan 10,164 jururawat yang berkhidmat di negeri berkenaan.

Bagi menangani isu itu, Dzulkefly berkata, Kerajaan MADANI mengambil beberapa langkah termasuk menubuhkan Pasukan Petugas Pengurusan Pengisian Jawatan Kementerian Kesihatan-Jabatan Perkhidmatan Awam (KKM-JPA) pada April lalu.

Langkah itu disusuli penubuhan Jawatankuasa Bersama Kementerian Kesihatan-Kementerian Pendidikan Tinggi pada Jun lalu bagi memetakan secara menyeluruh bekalan dan permintaan tenaga kerja perubatan.

Dzulkefly berkata, KKM sudah menyiapkan kerja pembangunan semula dan naik taraf 132 klinik daif di Sabah antara 2023 hingga 2025 menerusi inisiatif Bitara MADANI, membabitkan peruntukan RM75.5 juta.

“Bagi 2026, kita merancang melaksanakan baki 46 klinik daif secara berperingkat,” katanya.

Dzulkefly berkata, menerusi Rancangan Malaysia (RMK) dan rundingan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM1.56 bilion bagi 53 projek pembangunan kesihatan di seluruh Sabah.

Katanya, peruntukan itu membabitkan 32 projek fizikal termasuk pembinaan hospital dan klinik, manakala 21 projek bukan fizikal memberi tumpuan kepada pendigitalan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perolehan peralatan perubatan moden.

Mengenai pendigitalan perkhidmatan kesihatan, Dzulkefly berkata, kementeriannya sedang melaksanakan agenda berkenaan secara menyeluruh menerusi Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS).

“Di Sabah sahaja, CCMS sedang diperluaskan ke 36 klinik kesihatan, manakala 100 peratus daripada 44 klinik pergigian primer di seluruh Sabah kini menggunakan sepenuhnya Sistem Maklumat Pergigian.

“Perkhidmatan kesihatan di Sabah juga diintegrasikan dengan ekosistem Pusat Penyebaran Maklumat Nasional (NADI), sekali gus membolehkan penduduk di kawasan pedalaman dan pulau mendapatkan konsultasi secara maya tanpa perlu melakukan perjalanan jauh,” katanya.

KW: Dzulkefly Ahmad, KKM, Sabah, pakar, kesihatan, klinik, MA63. perubatan CCMS

From: Amirullah Andi Nur

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top