Saham UCI Resources catat premium

Saham UCI Resources catat premium

KUALA LUMPUR: UCI Resources Bhd, pengeluar dan pembekal produk konkrit pratuang membuat kemunculan sulung dalam pasaran LEAP di Bursa Malaysia hari ini pada 16 sen, premium satu sen berbanding harga tawaran satu sen sesaham.

Pada pembukaan, sebanyak 70,000 saham syarikat itu diniagakan.

Tawaran awam permulaan (IPO) UCI merangkumi terbitan 33.4 juta saham biasa baharu, yang mewakili 10 peratus modal saham diperbesarkan kumpulan iaitu 333.4 juta saham.

Pengarah Urusannya, Liew Thiam Leong, berkata berdasarkan harga terbitan, hasil kasar kumpulan adalah RM5.01 juta, yang mana RM3 juta akan digunakan untuk menyiapkan tapak kemudahan baharu di Bestari Jaya, Kuala Selangor, sejajar dengan rancangan pengembangannya.

“Tapak pengeluaran baharu akan merangkumi pejabat dua tingkat selain kawasan simpanan untuk bahan mentah, peralatan pengeluaran dan acuan pengeluaran.

“Keseluruhan tapak pengeluaran baharu dijangka akan disiapkan menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sidang akhbar secara maya selepas majlis penyenaraian syarikat itu, hari ini.

Thiam Leong berkata, kumpulan turut merancang untuk mengembangkan produk konkrit pratuang dengan memasukkan saluran paip konkrit pratuang.

“Sejajar dengan pengeluaran produk baharu, kumpulan juga bercadang untuk membeli dua jentera paip, satu jentera penghantar paip dan satu jentera sangkar dawai automatik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata baki kira-kira RM1.01 juta dan RM1 juta lagi masing-masing diperuntukkan kepada modal kerja dan anggaran perbelanjaan penyenaraian.

UCI Resources mengeluarkan tiga produk konkrit pratuang utama, iaitu ‘Box Culverts’, ‘U-drains’ dan ‘L-shapes’.

Produk terbabit dituang dan dirawat dalam acuan boleh guna semula seterusnya diperkukuh dengan palang keluli untuk meningkatkan kekuatannya sebelum digunakan untuk pembinaan saliran, terowong serta tembok penahan.

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top