Saidina Umar juga diuji kesabaran sebagai pemimpin

ISTILAH ‘Kerajaan Gagal’ yang sering dilaungkan oleh sesetengah pihak dengan tujuan memprovokasi bukanlah perkara yang baru… tetapi ianya sudah terjadi di zaman Saidina Umar Al-Khattab menjadi khalifah Islam lagi.

Advertisement

Di dalam satu riwayat yang panjang yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A dan direkodkan dalam kitab Sahih Imam Bukhari ada dinyatakan:

  الحر بنِ قَيْسٍ، وكانَ مِنَ النَّفَرِ الَّذِينَ يُدْنِيهِمْ عُمَرُ، وكانَ القُرَّاءُ أصْحَابَ مَجَالِسِ عُمَرَ ومُشَاوَرَتِهِ، كُهُولًا كَانُوا أوْ شُبَّانًا، 

Al Hurri Bin Qais adalah diantara penghafaz al-Quran yang rapat dengan Khalifah Umar Al Khattab R.A kerana Saidina Umar R.A menjadikan para Qari dan penghafaz al-Quran sebagai Ahli Majlis Mesyuarat (pakar rujuk al-Quran ) sama ada mereka itu muda atau tua.

Al Hurri Bin Qais pula mempunyai bapa saudara yang bernama Uyainah Bin Hisni yang meminta kepada Al Hurri Bin Qais agar diberikan peluang kepadanya bertemu dengan Khalifah Umar Al-Khattab. Lantaran kedudukan anak saudaranya itu yang rapat dengan Khalifah.

Setelah Al Hurri mendapatkan peluang bagi bapa saudaranya untuk bertemu Khalifah Umar Al Khattab maka tanpa disangka bapa saudaranya itu terus menyerang dan mengugut Khalifah Umar yang hebat itu. Ini dapat diketahui melalui kata-katanya dalam riwayat yang sahih ini:

: هِيْ يا ابْنَ الخَطَّابِ، فَوَاللَّهِ ما تُعْطِينَا الجَزْلَ ولَا تَحْكُمُ بيْنَنَا بالعَدْلِ،

“Wahai anak Khattab, demi Allah kamu tidak memberikan kepada kami pemberian (bantuan) yang memuaskan hati kami dan kamu tidak melaksanakan hukum dengan adil di antara kami.”

Riwayat menyatakan reaksi Saidina Umar:

فغَضِبَ عُمَرُ حتَّى هَمَّ أنْ يُوقِعَ به،

Maka menjadi terlalu marah Saidina Umar dan beliau seakan mengambil tindakan menjatuhkan hukuman di atas kebiadaban (Uyainah bapa saudara Al Hurri). Namun Al Hurri penasihat kerohanian al-Quran yang warak berkata:

 يا أمِيرَ المُؤْمِنِينَ، إنَّ اللَّهَ تَعَالَى قالَ لِنَبِيِّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: {خُذِ العَفْوَ وأْمُرْ بالعُرْفِ وأَعْرِضْ عَنِ الجَاهِلِينَ}، وإنَّ هذا مِنَ الجَاهِلِينَ، واللَّهِ ما جَاوَزَهَا عُمَرُ حِينَ تَلَاهَا عليه، وكانَ وقَّافًا عِنْدَ كِتَابِ اللَّهِ.

“Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah S.W.T berfirman: Berilah kemaafan, perintahlah dengan kebaikan dan berpalinglah – jangan menghiraukan – pada orang-orang yang bodoh (al-A’araf: 199).”

Di dalam riwayat ini ulamak menyatakan bahawa tindakan Al Hurri Bin Qais itu bukanlah untuk melindungi bapa saudaranya kerana menyalahgunakan kuasanya yang rapat dengan Saidina Umar tetapi tindakannya itu adalah kerana menurut syarah ulamak pada masalah ini:

 هذا مِنَ الجاهلِينَ، فَامتثلَ عُمرُ رضِي اللهُ عنه لِكتابِ اللهِ تعالى، ولم يُجاوزْ حُدودَه، ولم يُعاقبِ الرَّجلَ، وكان رضِي اللهُ عنه وقَّافًا عند كتابِ اللهِ وحدودِه.

“Perbuatan Uyainah itu adalah kerana beliau dari golongan jahil (menuduh tanpa usul periksa) dan Al Hurri menasihatkan Saidina Umar agar tidak menghukum bapa saudaranya yang bodoh mengenai pentadbiran itu berdasarkan Firman Allah agar memberi maaf, menyebabkan Saidina Umar bersetuju kerana ianya cadangan yang menurut Firman Allah.”

Hari ini kita dengar, ada pihak yang suka provokasi dengan slogan ‘Kerajaan Gagal, sedangkan telah banyak bantuan dan dana yang telah disuntik bagi rakyat. Sedangkan Saidina Umar Sahabat yang dijamin syurga pun diprovok oleh golongan jahil pentadbiran beliau apatah lagi kerajaan yang ada sekarang yang cuba yang terbaik, tidak hairanlah.

Kerana itulah kita lihat golongan ahli politik dari kalangan agamawan pun tidak mahu ambil tindakan terhadap golongan ini berdasarkan Firman Allah kecuali terhadap fitnah yang melampau yang boleh menjatuhkan maruah diri dan keluarga.

USTAZ AHMAD MUNAWIR SALEHULDIN 
B.A Hons Usulluddin (Tafsir) El Azhar Uni.Egypt
Dip.Ed.Arabic Language MPI Bangi
(Also studied Islamic Psychology) – HARAKAHDAILY 8/6/2021

Sumber asal: https://www.facebook.com/100000662400882/posts/4309626085736096/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.