am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Isu padanan data tidak dapat ditemui oleh sistem MyKasih dan Budi Madani RON95 (BUDI95) oleh rakyat Malaysia yang menukar MyKad baharu, bukan disebabkan maklumat di dalam kad pengenalan itu terpadam.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebaliknya berkata, maklumat asas pengenalan diri, termasuk nombor MyKad dan rekod kewarganegaraan, kekal konsisten serta tidak terpadam ketika pertukaran kad pengenalan dilakukan.
Beliau berkata, bagi menjamin penyelarasan maklumat dengan Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membekalkan rekod perubahan data terbabit, termasuk butiran nombor versi baharu setiap hari.
Katanya, ia adalah bagi membolehkan sistem di peringkat MOF dikemas kini selewat-lewatnya pada hari bekerja berikutnya, sekali gus memastikan kesinambungan data pemegang MyKad sentiasa teratur.
“Namun bagi pelaksanaan inisiatif bantuan kerajaan seperti MyKasih dan BUDI95, kemas kini data di peringkat sistem MOF dilaksanakan secara berkala, iaitu secara mingguan dan bulanan.
“Sehubungan itu, sekiranya pemohon atau penerima bantuan menggunakan kad pengenalan baharu dalam tempoh peralihan, iaitu sebelum kemas kini terkini nombor versi MyKad dalam sistem bantuan MOF, kemungkinan wujud situasi sementara di mana padanan data tidak dapat ditemui oleh sistem MyKasih dan BUDI95.
“Walaupun hakikatnya data peribadi pemegang MyKad tidak pernah hilang atau dipadam,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta menteri dalam negeri menyatakan terdapat isu kehilangan data MyKasih dan BUDI95 sekiranya rakyat Malaysia menukar kad pengenalan baharu.
Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata, isu terbabit bersifat sementara dan teknikal kerana membabitkan perbezaan kitaran kemas kini data antara agensi, dan bukannya kehilangan data MyKad atau kelayakan bantuan.
Beliau berkata, kerjasama berterusan antara JPN dan MOF sentiasa diperkukuh bagi memastikan penyelarasan data yang lebih efisien serta kelancaran pelaksanaan inisiatif bantuan kerajaan kepada rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




