Pau: Pelumba Belanda, Olav Kooij mencipta kemenangan sulung di Tour de France (TdF) apabila menjuarai perlumbaan peringkat kelima yang berakhir dengan pecutan penuh huru-hara susulan kemalangan kira-kira lima kilometer sebelum garisan penamat.
Pelumba berusia 24 tahun itu menewaskan pelumba Jerman, Max Kanter di tempat kedua, manakala pelumba Belgium, Tim Merlier melengkapkan kedudukan podium.
Sementara itu, pelumba Norway, Torstein Traeen berjaya mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan walaupun terperangkap di belakang insiden kemalangan itu.
Beberapa pelumba terbabit dalam kemalangan yang berlaku ketika berbaki sedikit melebihi lima kilometer, dengan pelumba Belanda, Alex Molenaar dipercayai mengalami kecederaan paling serius.
Insiden itu turut menyebabkan puluhan pelumba lain kehilangan momentum sebelum terpaksa mengejar semula kelompok utama yang terus memecut ke hadapan.
Beberapa pakar pecut termasuk Jasper Philipsen turut kehilangan pelumba ‘lead-out’ utama mereka seperti Mathieu van der Poel, sekali gus menyebabkan tiada pasukan mampu menyusun strategi pecutan seperti dirancang.
Dalam keadaan kelam-kabut itu, Kooij muncul paling menyerlah apabila melakukan pecutan bertenaga untuk memenangi perlumbaan dengan selesa pada penghujung laluan sejauh 158 kilometer dari Lannezeman ke Pau di barat daya Perancis.
Traeen menamatkan perlumbaan dalam kelompok yang tiba 14 saat di belakang pemenang bersama juara bertahan, Tadej Pogacar serta pencabar keseluruhan lain termasuk Jonas Vingegaard, juara Olimpik Remco Evenepoel dan pelumba muda sensasi Perancis, Paul Seixas.
Traeen kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan kelebihan 28 saat ke atas pelumba Amerika Syarikat, Sean Quinn, manakala pelumba Republik Czech, Mathias Vacek berada di tempat ketiga, ketinggalan 3 minit 50 saat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




