Sajian 'beremosi' buat pelbagai generasi

Sajian 'beremosi' buat pelbagai generasi

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Aura merah dan hitam menyelubungi ruang acara JioSpace, Petaling Jaya, baru-baru ini apabila band pop rock, Drama Band membuktikan taring mereka masih tajam menerusi Konsert Drama Band 15 Tahun.

Suasana malam itu cukup luar biasa. Bukan sekadar anak muda, malah peminat daripada pelbagai generasi membanjiri ruang konsert, membuktikan muzik Drama Band bersifat rentas usia.

Dari lagu-lagu ‘jiwang’ lama sehinggalah karya eksperimental terbaharu, semuanya dinyanyikan bersama dalam satu suara yang cukup bingit dan harmoni.

Vokalisnya, Aepul Roza, benar-benar menjadi ‘nadi’ pada malam itu. Selain kualiti vokal yang tidak perlu dipertikaikan, Aepul berani melakukan aksi koreografi di luar kebiasaan yang persis pergerakan akrobatik!

Aksi lincah itu ditonjolkan ketika dia menyampaikan lagu duet bersama Sharul Kamal serta lagu tular, Gatal sebuah karya ciptaan Aepul yang sebelum ini dipopularkan oleh Janna Nick.

Lebih 1,000 penonton yang berada di lokasi konsert terpaku melihat tenaga luar biasa yang diberikan pemenang The Hardest Singing Show itu.Konsert ini turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan seperjuangan yang menambah ‘perisa’ pada persembahan.

Penyanyi yang juga isteri Aepul, Leez Rosli tampil anggun menerusi lagu duet bersama Aepul, selain menghangatkan pentas dengan lagu cover ikonik Teman Tapi Mesra dan Makhluk Tuhan Paling Seksi.

Bintang AF2015, Sharul Kamal memukau penonton dengan rangkaian lagu Bunga Angkasa, Bayangan (OST Magik Rompak) dan lagu bertenaga Melompat Lebih Tinggi.

Sementara itu, penyanyi rock legenda, Datuk Nash membawa aura berbeza menerusi lagu keramat, Kamelia.

Dua penyanyi rock, Aweera dan Fiq Halim bergabung tenaga bersama Aepul membentuk trio mantap menerusi lagu Romancinta, Tiga Malam Tanpa Bintang, serta single kolaborasi mereka, Selamatkan Aku.

Satu fakta menarik yang dikongsi pada malam itu adalah lagu Dikoyak Waktu sebenarnya adalah lagu pertama ciptaan Aepul yang ditulis khusus untuk penyanyi lain (Ronnie Hussin) sebelum bergerak aktif sebagai komposer.

Detik paling menyentuh hati adalah pada segmen penutup apabila Drama Band menjemput bekas anggota asal mereka, Ammar Habir, untuk beraksi di pentas.

“Kami sebuah band yang muncul daripada program Twisties Bingit. Kami bermula berempat iaitu saya, Daus, Faeez, dan Ammar. Persahabatan kami tidak pernah terputus,” katanya.

Ammar yang turut bermain untuk lagu ciptaannya, Cerita Dia dan Babak Pertama, mengakui rasa gemuruh kembali ke pentas besar.

“Terima kasih kepada Drama Band kerana sentiasa mengingati saya. Sejujurnya, saya berdebar kerana sudah lama tidak naik ke pentas,” katanya.

Konsert bersejarah itu diakhiri dengan lagu Raja Drama, sebuah naskhah yang sangat signifikan dalam melambangkan perjalanan 15 tahun mereka dalam industri seni tanah air.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top