Saksi awal tragedi Chernobly kenang detik letupan

Saksi awal tragedi Chernobly kenang detik letupan

SLAVUTYCH – Empat dekad selepas tragedi letupan loji nuklear Chernobyl pada 26 April 1986, seorang saksi awal kejadian itu masih mengingati detik hitam yang mengubah hidupnya dan sejarah dunia.

Nikolay Solovyov, kini berusia 67 tahun, ketika itu bertugas sebagai mekanik turbin di Unit 2 loji berkenaan, hanya beberapa ratus meter dari Reaktor 4 yang meletup dalam satu ujian keselamatan yang gagal.

“Rasanya seperti gempa bumi. Saya tidak dengar letupan, hanya bunyi turbin yang sangat kuat,”katanya mengimbas kembali detik hitam itu.

Solovyov, menunjukkan gambar dirinya di bilik kawalan blok kuasa ketiga pada awal 1990-an di sebuah dinding di Muzium Bandar Slavutych dan Chernobyl di Slavutych. Foto AFP

Solovyov, menunjukkan gambar dirinya di bilik kawalan blok kuasa ketiga pada awal 1990-an di sebuah dinding di Muzium Bandar Slavutych dan Chernobyl di Slavutych. Foto AFP

Dalam keadaan panik, beliau melihat rakan sekerja yang terdedah kepada radiasi teruk, ada yang muntah dan ada yang tidak sedarkan diri.

“Tidak lama selepas itu, mereka semua meninggal dunia akibat kesan radiasi,” jelasnya.

Ketika fajar menyinsing, Solovyov dan rakan-rakannya cuba memahami nasib mereka. Ada yang menganggap mereka mungkin hanya mempunyai beberapa minggu untuk hidup.

Namun, beliau memilih untuk terus bekerja dalam operasi pembersihan besar-besaran yang dikenali sebagai liquidation, termasuk pembinaan struktur pelindung reaktor Chernobyl.

“Daripada 22 orang dalam syif saya malam itu, hanya empat yang masih hidup,”katanya.

Tambahnya, rahsia beliau masih bertahan adalah kerana beliau hanya bergantung kepada kesihatan yang dianugerah oleh Tuhan, disiplin hidup dan nasib.

Roda Ferris kelihatan di bandar hantu Pripyat berhampiran Loji Kuasa Nuklear Chernobyl. Foto AFP

Roda Ferris kelihatan di bandar hantu Pripyat berhampiran Loji Kuasa Nuklear Chernobyl. Foto AFP

Tragedi Chernobyl bukan sahaja meninggalkan kesan kepada manusia, tetapi juga kepada kawasan sekitar yang diisytiharkan sebagai zon pengecualian, tidak lagi selamat didiami dalam jangka masa panjang.

Selepas 40 tahun, kawasan itu kekal sebagai simbol bencana nuklear paling buruk dalam sejarah manusia, sementara saksi seperti Solovyov terus membawa memori gelap yang tidak pernah padam.

INFO

Ukraine pada Ahad memperingati ulang tahun ke-40 tragedi letupan loji nuklear Chernobyl, yang dianggap sebagai bencana nuklear paling buruk dalam sejarah tamadun manusia.

1. Letupan besar pada 1986

Pada jam 1.23 pagi waktu tempatan, 26 April 1986, satu ujian keselamatan yang gagal menyebabkan letupan di reaktor nombor empat Loji Kuasa Nuklear Chernobyl ketika itu di bawah Kesatuan Soviet.

Letupan tersebut memusnahkan struktur reaktor dan melepaskan awan radioaktif ke atmosfera selama lebih 10 hari.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menyatakan punca utama bencana ialah kelemahan reka bentuk reaktor serta pelanggaran prosedur operasi.

Seorang pelawat berjalan di bandar Chernobyl di sepanjang lorong memorial yang memaparkan nama-nama kampung yang hilang di kawasan Chernobyl. Foto AFP

Seorang pelawat berjalan di bandar Chernobyl di sepanjang lorong memorial yang memaparkan nama-nama kampung yang hilang di kawasan Chernobyl. Foto AFP

2. Awan radioaktif tersebar ke seluruh Eropah

Awan radioaktif daripada letupan itu mencemari Ukraine, Belarus dan Rusia sebelum merebak ke seluruh Eropah.

Sweden menjadi negara pertama yang mengesan peningkatan radiasi pada 28 April 1986, manakala pihak Soviet hanya mengakui kejadian itu secara terbuka pada pertengahan Mei.

Anggaran jumlah korban berbeza-beza, dengan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekitar 4,000 kematian, manakala Greenpeace menyatakan jumlahnya mencecah 100,000 kematian.

Zon pengecualian yang kekal tidak didiami

Kawasan sekitar Chernobyl kini menjadi zon larangan dengan keluasan ribuan kilometer persegi yang tidak lagi sesuai untuk didiami manusia. Bandar Pripyat yang dahulu menempatkan hampir 48,000 penduduk kini kekal sebagai bandar hantu.

Menurut IAEA, kawasan tertentu di sekitar Chernobyl tidak akan selamat didiami selama puluhan ribu tahun. – AFP

 

Scroll to Top